WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sembilan Inisiatif KUSKOP Bukti Komitmen Kerajaan MADANI Perkasa Komuniti India

19/07/2025 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Sembilan inisiatif berimpak tinggi khusus untuk memperkasakan komuniti India telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sejak tahun lepas sehingga pertengahan tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif melibatkan aspek pembiayaan, pembangunan kapasiti, latihan, pemerkasaan koperasi dan libat urus bersama komuniti itu, bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan ekonomi yang inklusif, adil dan tidak meminggirkan mana-mana kaum.

“Bagi tahun ini hingga Jun 2025, lebih RM356 juta telah diperuntukkan melalui pelbagai program pembiayaan dan pembangunan keusahawanan, memberi manfaat kepada hampir 9,000 usahawan komuniti India di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big, program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN), dan program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).

Inisiatif lain termasuk Vanigham Financing for Indian Entrepreneurs, Vanakam MADANI, Business Accelerator Programme for Indian Small Business (i-BAP), program Empowering Indian Entrepreneur (EIP 2024), Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI 2024) dan bantuan kewangan rumah ibadat masyarakat India. 

Ramanan berkata perlaksanaan inisiatif itu adalah bukti nyata Kerajaan MADANI sentiasa mendengar dan bertindak terhadap keperluan serta harapan rakyat, khususnya komuniti India.

“Ini bukan sekadar angka atas kertas tetapi mencerminkan keberanian dan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memastikan komuniti India menjadi sebahagian daripada arus perdana pembangunan negara.

“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan India berjaya, menjadi pencipta peluang pekerjaan dan menyumbang secara aktif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pemerkasaan komuniti India bukan retorik, kerja sedang dilaksana dengan hasil yang boleh diukur,” katanya. 

Beliau berkata KUSKOP juga sedang menilai beberapa inisiatif baharu yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat. 

“Saya komited dan fokus untuk kegemilangan ekonomi komuniti India melalui program pemerkasaan ekonomi. Saya akan pastikan segala inisiatif mendahulukan sistem penyampaian yang efisien.

“Saya akan terus memantau secara rapat dan memastikan agenda pemerkasaan ini diteruskan serta diperkukuh supaya tiada komuniti yang tertinggal dalam perjalanan menuju Malaysia MADANI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan