WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CIMB, Pharmaniaga Jalin Kerjasama Tingkat Fleksibiliti Pembiayaan PKS Penjagaan Kesihatan

18/07/2025 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- CIMB Bank Bhd (CIMB Bank) telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), bagi meningkatkan pembiayaan rantaian bekalan dan memudahkan fleksibiliti pembayaran bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor penjagaan kesihatan.

Menurut CIMB, perkongsian itu bertujuan menyediakan fleksibiliti pembiayaan yang lebih baik kepada klinik, farmasi dan pembeli perubatan merentas sektor.

“Di bawah kerjasama ini, CIMB dan Pharmaniaga akan menawarkan fleksibiliti pembayaran yang lebih baik kepada pembeli hiliran termasuk klinik swasta dan farmasi bebas melalui Kad Perniagaan CIMB SME,” kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini.

Perniagaan boleh menikmati sehingga 50 hari lanjutan kredit apabila membeli bekalan perubatan menggunakan kad itu dan mendapat rebat tunai 0.5 peratus tanpa terhad bagi semua pembelian di Pharmaniaga, sekali gus menawarkan insentif berharga bagi meningkatkan aliran tunai serta mengoptimumkan modal kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama (perbankan komersial dan transaksi kumpulan) Kumpulan CIMB Lawrence Loh berkata dengan menawarkan syarat kredit lanjutan dan insentif penyelesaian awal, bank itu membantu klinik, farmasi dan pembeli perubatan menguruskan aliran tunai dengan lebih baik serta mengurangkan tekanan operasi sambil meningkatkan kualiti penjagaan yang mereka sediakan.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan lagi portfolio penjagaan kesihatan PKS kami, didorong oleh kerjasama strategik dengan rakan kongsi ekosistem dan meningkatkan akses kepada penyelesaian pembiayaan digital yang tertumpu kepada sektor,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pharmaniaga Zulkifli Jafar berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen kukuh syarikat farmaseutikal itu untuk menyokong rakan kongsi perniagaan yang dihargainya dengan penyelesaian kewangan praktikal untuk menguruskan rantaian bekalan mereka dengan lebih berkesan.

“Dengan menawarkan pembayaran yang lebih fleksibel dan pilihan pembiayaan yang disesuaikan, kami berharap dapat membantu rakan kongsi kami untuk berkembang secara mampan sambil memastikan akses berterusan kepada rangkaian produk farmaseutikal yang lebih meluas bagi melayani pelanggan mereka dengan yakin,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan