WILAYAH - TENGAH > BERITA

Malaysia Jana Potensi Pelaburan RM4 Bilion, Eksport RM675 Juta Semasa Misi Perdagangan Ke Perancis

06/07/2025 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Malaysia berjaya menjana potensi pelaburan bernilai RM4 bilion dan potensi eksport RM675 juta semasa misi perdagangan dan pelaburan ke Perancis yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Julai, 2025.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata Anwar bertemu 40 wakil sektor perindustrian Perancis, dengan beberapa syarikat menyatakan hasrat untuk melabur dalam pembuatan berteknologi tinggi, aeroangkasa, tenaga boleh baharu, pelancongan dan hospitaliti, ekonomi digital dan infrastruktur mampan.

“Bagi potensi eksport, RM675 juta dijana untuk sektor berimpak tinggi seperti aeroangkasa, automotif, tenaga boleh baharu, farmaseutikal, ekonomi digital, gaya hidup dan industri halal.

“Ini adalah sektor yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau,” katanya.

MITI berkata syarikat terbabit turut berkongsi hasrat untuk terus melabur di Malaysia, didorong oleh faktor utama seperti ekosistem pelaburan yang kondusif, stabil dan dinamik; permintaan global yang menggalakkan terhadap produk buatan Malaysia; rantaian bekalan domestik yang cekap; tenaga kerja berkemahiran tinggi; dan dasar kerajaan yang mesra pelabur.

Delegasi misi itu turut disertai Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan wakil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Tengku Zafrul berkata kejayaan keseluruhan misi itu mencerminkan keyakinan berterusan syarikat asing terhadap dasar mesra pelabur, ekosistem rantaian bekalan, daya saing dan potensi pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Potensi pelaburan dan perdagangan yang bakal direalisasikan itu juga akan menyediakan peluang perniagaan kepada syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, dan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Semua ini adalah kunci dalam memacu agenda transformasi ekonomi MADANI kita,” katanya.

Anwar kini sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Itali, Perancis dan Brazil dari 1-8 Julai, 2025. 

Selain Tengku Zafrul, Anwar turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan