WILAYAH - SELATAN > BERITA

JDT Sasar Pentas Piala Dunia Kelab – Luis Garcia

02/07/2025 07:08 PM

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menyasarkan pencapaian lebih gemilang di pentas antarabangsa, termasuk dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Piala Dunia Kelab FIFA, selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik kelab Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT Luis Garcia berkata titah Tunku Mahkota Johor itu menjadi pendorong utama kepada Harimau Selatan untuk terus memperkukuh prestasi serta mengangkat nama Johor dan Malaysia di persada bola sepak Asia dan dunia.

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail menitahkan agar kami memaksimumkan potensi serta berbangga mengibarkan bendera Johor dan Malaysia lebih tinggi di pentas antarabangsa, sama ada di dalam mahupun luar padang,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi Facebook JDT hari ini.

Garcia berkata sejak 2019, JDT kekal sebagai satu-satunya wakil Malaysia dalam ACLE dan telah memainkan peranan penting menyumbang mata ranking bagi 'AFC Member Association', sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada kelab tempatan untuk menyertai kejohanan Asia.

“Untuk terus mara ke hadapan, kami bukan sahaja perlu mengekalkan prestasi semasa, malah menyasarkan pencapaian lebih tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Usaha ini penting bagi membantu lebih banyak kelab Malaysia layak ke pentas Asia,” katanya.

Mengulas mengenai perluasan format Piala Dunia Kelab FIFA yang mungkin menyaksikan lebih banyak pasukan Asia berpeluang menyertai, Garcia berkata ia membuka laluan kepada JDT untuk merebut slot berdasarkan kedudukan dalam ranking kelab Asia.

Bagaimanapun, beliau mengakui laluan ke arah itu penuh cabaran memandangkan tahap saingan di peringkat Asia kini amat kompetitif dan menuntut komitmen tinggi.

“Merealisasikan sasaran ini bukan tugas mudah. Kami tidak boleh leka jika ingin berjaya dalam misi besar ini. Standard bola sepak Asia sangat tinggi dan memerlukan perancangan rapi.

“Barisan pemain baharu yang dibawa masuk untuk musim 2025–2026 juga dipilih berdasarkan hala tuju ini. Kejayaan JDT di Asia pastinya menjadi kebanggaan seluruh Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan