WILAYAH - TIMUR

Tengku Hassanal berangkat ke Majlis Penutup Latihan Gabungan Bersama Malaysia, Indonesia

19/03/2023 06:18 PM

PEKAN 19 Mac (Bernama) --  Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Penutup Latihan Gabungan Bersama Malaysia Indonesia Darat Samudera Angkasa Siri 11AB/2023. 

Pada majlis itu, baginda berkenan menyaksikan serbuan akhir latihan medan (FTX) melawan keganasan di sebuah hotel di sini sebelum ke padang Majlis Daerah Pekan (MDP) untuk menyaksikan terjunan bebas 12 wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang membawa 12 bendera.

Hadir sama wakil Menteri Besar Pahang Datuk Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono, Komandan Jenderal Komando Pasukan Khusus TNI Mayor Jenderal H. Iwan Setiawan.

Majlis penutup latihan itu, yang bermula pada 10 Mac dan berakhir Selasa ini, kemudian disempurnakan oleh Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom dan Panglima Komando Gabungan Wilayah Pertahanan 1 Laksamana Madya TNI Irvansyah.

Menurut kenyataan Markas Angkatan Bersama, seramai 611 orang menyertai eksesais bilateral itu yang dilaksanakan tiga tahun sekali dengan penganjurannya dilakukan secara bergilir-gilir antara ATM dan TNI. 

Antara objektif utama latihan ialah mewujudkan strategi cegah rintang dan strategi tindakan terhadap ancaman daripada kumpulan yang mahu mengancam kedaulatan MALINDO selain mewujudkan kerjasama kesiapsiagaan ATM serta TNI dalam mendepani ancaman pengganas.

Malaysia menjadi negara hos bagi latihan kali ini dengan melibatkan penyertaan Gerup Gerak Khas, Pasukan Khas Tentera Laut dan Pasukan Khas Tentera Udara daripada tiga cabang perkhidmatan ATM bersama TNI.

Kenyataan itu turut memaklumkan eksesais dilaksanakan dalam empat fasa merangkumi fasa persiapan, latihan STAFFEX dan latihan intergrasi pasukan (FIT), Post Exercise Debrief (PXD) dan fasa FTX meliputi aktiviti penyampaian perintah operasi, raptai penggempuran ke atas pengganas di bangunan dan serangan akhir ke atas sasaran bangunan.

Selain itu, beberapa aktiviti projek Jiwa Murni yang merangkumi aktiviti Program Engineering Civic Aviation (ENCAP) seperti membaik pulih Klinik Desa Kampung Langgar, Medical Civic Action Program (MEDCAP) dan Dental Civic Action Program (DENCAP) turut diadakan di Pusat Kegiatan Masyarakat Pejabat Kemas, Peramu di sini bagi fasa satu serta padang MDP bagi Fasa dua.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan