WILAYAH - SELATAN

Bina reban, kandang terapung elak ternakan dihanyut banjir

25/01/2023 06:31 PM

SEGAMAT, 25 Jan (Bernama) -- Seorang pekerja kampung nekad membina reban dan kandang terapung demi menyelamatkan haiwan ternakannya selepas merasai pengalaman pahit kehilangan ternakan tersebut akibat dihanyutkan arus banjir dua tahun lepas.

Aankurniawan Herman, 36, menghabiskan hampir RM10,000 iaitu hasil wang yang dikumpul bersama tujuh adik-beradiknya, bagi membina reban dan kandang tersebut.

Katanya reban dan kandang terapung yang dibina di atas rakit itu memuatkan 30 ekor ayam, 30 ekor kambing dan 10 ekor itik serta angsa.

“Kami membina sendiri kandang dan reban ini tanpa mengupah orang lain. Ternyata hasil penat lelah menyiapkan reban terapung ini berbaloi apabila semua ternakan kami selamat dalam banjir kali ini. 

“Ternakan ini bukan untuk dijual sebaliknya bagi kegunaan sendiri memandangkan ahli keluarga kami ramai dan rumah pula jauh daripada orang, jadi bila ternak sendiri lebih jimat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Sermin, di sini hari ini.

Bapa anak seorang itu menggunakan tong besar terpakai untuk mengapungkan kandang dan reban tersebut.

Mengenai banjir yang melanda Isnin lepas, Aankurniawan berkata rumahnya mula dinaiki air pada kira-kira 6 pagi dan dalam tempoh hanya setengah jam, paras air sudah menenggelamkan hampir keseluruhan tingkat bawah rumahnya.

Ketika ini dia dan bapanya Herman Rahman, 66, bergilir-gilir menjaga reban dan kandang tersebut untuk memastikan haiwan ternakannya tidak dicuri orang. 

“Ahli keluarga lain masih berada di pusat pemindahan sementara, cuma saya dan ayah sahaja yang bergilir duduk di pondok kecil terapung ini untuk menjaga ternakan dan barangan di rumah.

“Disebabkan ada pengalaman dilanda banjir sebelum ini, jadi semua barangan rumah kami sempat kemas dan simpan di loteng tinggi. Syukur semuanya selamat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan