BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
WILAYAH - TIMUR

Kejayaan ibu bapa suntik semangat pelajar cipta kecemerlangan

06/08/2022 10:46 AM

KUANTAN, 6 Ogos (Bernama) -- Kejayaan ibu bapa dalam bidang masing-masing menjadi pembakar semangat buat penerima Hadiah dan Anugerah Kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti Malaysia Pahang (UMP), untuk belajar dengan tekun.

Usaha itu ternyata berbaloi apabila Hussein Al-Faiz Mohamed Ahmed Hafez, 26, akan menerima Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd dan Hadiah Kecemerlangan Program Dual Ijazah - Verein Deutscher Ingeniure Award (Anugerah Tajaan Persatuan Jurutera Jerman) yang disampaikan oleh Pro Cancelor UMP Tan Sri Dr Abi Musa Asaari Mohamed Nor hari ini. 

Anak sulung kepada pasangan Prof Mohamed Ahmed Hafez yang merupakan pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan Dr Sham Awab seorang doktor pergigian itu berkata ibu bapanya telah menjadi contoh terbaik untuknya mencipta kejayaan.

Berkongsi cerita, anak jati Kuala Lumpur itu berkata kedua-dua orang tuanya turut meletakkan harapan yang tinggi supaya beliau dapat menunjukkan teladan yang baik kepada dua lagi adiknya.

"Mereka memang idola saya, bapa berasal daripada keluarga susah di Mesir dan berhijrah ke sini untuk menuntut ilmu bagi mengubah nasib keluarga sebelum bertemu ibu saya dan mendirikan rumah tangga.

"Bapa juga berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan cuma saya lain sikit iaitu bidang automotif dan ibu seorang doktor gigi...kini sudah sampai masanya untuk membalas budi mereka yang selama ini banyak berkorban masa, tenaga dan wang membesarkan saya," katanya pada sidang media Sempena Memperkenalkan Penerima Anugerah Majlis Konvokesyen Ke-16 UMP, di sini, semalam. 

Graduan bagi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif itu turut berkongsi cabaran semasa mengikuti pengajian selama setahun di University of Applied Sciences, Jerman dua tahun lepas ketika situasi COVID-19 amat membimbangkan.

"Ketika sekatan pergerakan semua kelas dijalankan secara dalam talian dan saya perlu rekod apa yang diajar pensyarah dalam bahasa Jerman kemudian terjemahkan supaya saya faham apa yang disampaikan dan ia sangat mengambil masa," katanya yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tenaga Nasional.

Sepanjang Menuntut di UMP, beliau sering memenangi pertandingan robotik antaranya tempat pertama UTHM-Fraunhofer Corporate Makeathon 2019 (peringkat kebangsaan) dan 10 teratas Solidworks Skills Competition 2019 For East Coast Region.

Selain itu, Hussein Al-Faiz turut memaklumkan beliau sedang memulakan perniagaan bersama rakannya menerusi program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dengan menubuhkan GREST Engineering and Consultancy Services di Pekan, Pahang.

Sementara itu, Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin memaklumkan seramai 4,082 individu bakal menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen yang akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang, di sini. 

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 280 individu akan menerima ijazah doktor falsafah dan sarjana, manakala sarjana muda melibatkan 2,235 individu selain diploma dan UMP Advanced masing-masing 506 dan 1,061 individu.

Katanya, sejak majlis konvokesyen yang pertama pada 2006, UMP telah melahirkan seramai 34,905 graduan dalam pelbagai lapangan pengajian sama ada peringkat prasiswazah mahupun pascasiswazah dengan kebolehpasaran graduan UMP berjaya melepasi lebih 90 peratus mendapat pekerjaan setakat ini.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan