BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
WILAYAH - TIMUR

Mapex Terengganu 2022 tawar 1,620 unit hartanah bernilai RM450 juta

23/06/2022 08:41 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) -- Sebanyak 1,620 unit hartanah dengan nilai keseluruhannya mencecah RM450 juta ditawarkan dalam Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) Terengganu 2022 bermula hari ini hingga Sabtu di Kuala Terengganu City Centre, di sini.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Terengganu Mohamad Hishamudin Muda berkata kesemua hartanah terbabit ditawarkan oleh sembilan pemaju yang menyertai ekspo kali ini.

Hartanah itu termasuk rumah teres setingkat dan dua tingkat, rumah berkembar, kedai pejabat, banglo serta unit-unit komersial.

"MAPEX adalah pusat sehenti yang mengumpulkan pemain industri pembangunan hartanah dan menawarkan produk dalam pembinaan atau siap. Malah, pakej pembiayaan istimewa turut ditawarkan kepada bakal pembeli.  

"REHDA Cawangan Terengganu berharap orang ramai akan memanfaatkan ekspo ini untuk mencapai impian memiliki rumah sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran MAPEX Terengganu 2022 oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan & Alam Sekitar negeri Ahmad Shah Muhamed, hari ini.

MAPEX 2022 diadakan dengan kerjasama Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang juga antara peneraju utama pembangunan sektor hartanah dan perumahan di Terengganu selain institusi perbankan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Terdahulu, Ahmad Shah yang membacakan teks ucapan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelbagai inisiatif telah dirangka serta diteliti oleh kerajaan negeri bagi memastikan pemilikan hartanah yang seimbang untuk setiap golongan rakyat.

"Kerajaan Terengganu juga telah bersetuju untuk memberikan Pengecualian Caj Pemajuan bagi pembangunan secara penswastaan melibatkan Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A dan B di tanah kerajaan, bermula April lepas.

"Keputusan ini bagi membantu dan menggalakkan pemaju menyediakan lebih banyak RMM kepada rakyat negeri ini agar lebih ramai dapat memiliki rumah," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga berharap agar institusi kewangan turut memberi sedikit kelonggaran dari segi kelulusan pinjaman perumahan yang sering menjadi rungutan rakyat selama ini.

Beliau juga menggesa agar pemaju membuat kajian pasaran secara teliti terlebih dahulu sebelum melancarkan sesuatu projek bagi memastikan harga dan jenis kediaman menepati kehendak pasaran serta kelayakan pinjaman. 

"Jika projek tidak menepati kehendak pasaran sebenar, ia akan menyebabkan lambakan hartanah tidak terjual dan menjejaskan aliran tunai sesebuah syarikat.

“Kita juga tidak mahu projek tersebut gagal disiapkan atau terbengkalai yang akan hanya merugikan semua pihak," katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan