BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
WILAYAH - SABAH

300 hektar tanah untuk tanaman baharu koko di Sabah - Willie

23/06/2022 01:46 PM

KOTA BELUD, 23 Jun (Bernama) -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah membuka kawasan tanaman baharu koko seluas 300 hektar di Sabah menerusi program Rangsangan Pengeluaran Hasil Koko (RPKH) Tanaman Baharu 2022 (TB22).

Timbalan Menterinya Datuk Willie Mongin berkata program itu antara lain akan menggunakan khidmat kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembukaan dan pembersihan kawasan berkenaan.

“Inisiatif ini akan meringankan bebanan kewangan dan mengurangkan aktiviti fizikal yang perlu ditanggung sendiri oleh para pekebun kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Willie merasmikan program Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 bersama peserta program RPHK TB22 di Kampung Kiau Taburi dekat sini.

Seramai 30 pekebun dari kampung tersebut menghadiri sesi perjumpaan dikendalikan Lembaga Koko Malaysia (LKM).

Willie berkata inti pati utama program RPHK TB22 antara lain meliputi komponen projek tanaman baharu, pembinaan mini pengeringan koko serta aktiviti pemindahan teknologi dan pengembangan.    

Beliau berkata sebahagian besar golongan pekebun koko di zon Kiau bekerja sebagai pemandu pelancong di Gunung Kinabalu.

Menurutnya, kedudukan kebun koko di lokasi strategik di daerah itu juga dilihat berupaya melonjakkan kawasan tersebut sebagai sebuah pusat pelancongan berpotensi tinggi.

“Oleh itu, perancangan masa depan pembangunan industri koko di zon Kiau juga akan berpaksikan kepada agropelancongan seiring dengan perkembangan industri inap desa dan rekreasi di kawasan ini,” katanya.

Willie dalam pada itu berkata LKM juga akan membangunkan 10 hektar tanah untuk tanaman baharu koko di zon Kiau berkonsepkan integrasi tanaman dengan avokado menjadi tanaman pilihan para pekebun.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan