BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
WILAYAH - SELATAN

Projek RTB Sungai Batu Pahat bakal selamatkan 35,000 penduduk

23/06/2022 01:04 PM

ISKANDAR PUTERI, 23 Jun (Bernama) -- Projek rancangan tebatan banjir (RTB) di Sungai Batu Pahat yang dijangka bermula tahun depan mampu menyelamatkan lebih 35,000 penduduk lembangan sungai yang terdedah kepada risiko banjir akibat limpahan air parit utama dan sungai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K.Raven Kumar berkata projek penyelesaian jangka panjang bernilai RM190 juta dan akan siap pada 2026 itu melibatkan kerja pembinaan benteng dan penggalian sungai.

“RTB ini bertujuan membaik pulih tebing sungai yang rosak, menaik taraf benteng sungai supaya air dari parit utama sepanjang sungai tersebut tidak melimpah dan mengurangkan kejadian banjir kilat semasa air pasang yang bertembung dengan kejadian hujan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH-Penggaram) yang ingin tahu status pembinaan benteng untuk RBT di Sungai Batu Pahat yang telah bermula dari pintu air Kampung Parit Lapis di Batu Pahat.

Raven Kumar berkata bagi penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan risiko banjir, usaha pemuliharaan sungai terus dilakukan di Taman Batu Pahat, Jalan Pantai, Jalan Masjid, Parit Johar, Parit Sri Molek dan Kampung Muhibbah melibatkan peruntukan RM1.07 juta.

Ketika menjawab soalan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) yang ingin tahu perancangan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Johor, Raven Kumar berkata kerajaan merancang membina ‘Mangrove Discovery Centre' di Tanjung Piai dan sebuah 'Mangrove Research Centre' di Pulau Kukup dekat Pontian.

Beliau berkata kedua-dua pusat berkenaan akan dilengkapi kemudahan awam seperti tandas, gerai cenderahati, kafeteria, surau, hotel dan ruang rehat sekali gus menggalakkan lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke lokasi tersebut.

-- BERNAMA


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan