Sabtu, 16 Januari 2021
UTARA
12/01/2021 05:33 PM

ALOR SETAR, 12 Jan -- Kerajaan negeri Kedah hari ini memberi peringatan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) supaya tidak campur tangan dalam isu kedaulatan, khususnya mengenai kawasan tadahan air di mana-mana lokasi di negeri itu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor turut menasihati mana-mana syarikat terutamanya PBAPP agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan menyentuh isu, antaranya berkaitan hutan, sungai serta wilayah di Kedah, kerana hanya kerajaan negeri Pulau Pinang sahaja yang layak berurusan dengan kerajaan negeri itu.

"Kerajaan negeri Kedah hanya akan berurusan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, tidak akan berurusan dengan mana-mana syarikat (dalam isu caj air mentah) sebab selepas tandatangan perjanjian sertai Malaysia pada 1963, Kedah adalah sebuah kerajaan berdaulat meliputi kerajaan yang sah, undang-undang dipatuhi, sempadan negeri dihormati dan ada rakyat yang dilindungi, inilah kedaulatan negeri Kedah.

"Kedaulatan ini kita akan pertahankan, tidak boleh mana-mana syarikat seperti PBAPP masuk campur urusan kerajaan negeri, sungai, hutan dalam wilayah Kedah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini.

Beliau berkata pihaknya juga sudah menerima laporan Maklumat Kebergantungan Pulau Pinang Terhadap Sumber Air Kedah daripada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) yang memperincikan tentang perundangan serta sejarah berkaitan sempadan dan sungai-sungai di negeri itu.

"Saya akan memperhalusi taklimat (laporan) berkenaan, berkaitan isu kebergantungan Pulau Pinang kepada Kedah ini, kita akan kaji apa proses yang boleh diambil (terhadap kerajaan Pulau Pinang)," kata Muhammad Sanusi.

Kerajaan negeri Kedah sudah banyak kali mengemukakan tuntutan secara bertulis kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sejak 2010 untuk menuntut caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun kerana negeri itu menggunakan air daripada sumber Sungai Ulu Muda yang terletak di Kedah.

Susulan itu, beberapa pihak termasuk PBAPP dilaporkan telah beberapa kali mengeluarkan kenyataan berkaitan kawasan tadahan air di Ulu Muda, yang dilihat Muhammad Sanusi sebagai mencampuri urusan kerajaan negeri ini.

-- BERNAMA

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan