Jumaat, 22 Januari 2021
SELATAN
10/01/2021 12:49 PM

BATU PAHAT, 10 Jan  -- Taktik cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah yang diseludup pada ‘boya’ tidak menjadi, apabila dadah disyaki jenis syabu seberat lebih kurang lapan kilogram (kg) ditemui anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Batu Pahat, sekitar pukul 2 pagi, semalam (9 Jan).

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohamad Othman berkata, dadah bernilai RM440,000 itu ditemui anggotanya, yang sedang meronda di perairan Batu Pahat sehingga ke Muar, sebelum menemui dadah berkenaan di sekitar perairan Sungai Sarang Buaya.

Katanya, ketika rondaan terbabit pihaknya mengesan sesuatu objek yang mencurigakan berada pada boya Permatang Kuala, yang terletak di kedudukan lebih kurang lima batu nautika selatan Sungai Sarang Buaya.

“Ketika anggota Maritim menghampiri boya itu, kelihatan satu tong minyak terapung dengan berisi bungkusan yang dibaluti plastik berwarna hitam.

“Melalui pemeriksaan lanjut telah menemukan lapan paket bungkusan teh Cina yang berisi serbuk kristal yang dipercayai dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohamad lagi, bungkusan terbabit kemudiannya dirampas dan dibawa ke pejabat Zon Maritim Batu Pahat, untuk tindakan serta siasatan lanjut.

“Pihak Maritim Malaysia terus komited untuk memandang serius terhadap operasi penguatkuasaan di laut dan akan mengambil tindakan tegas kepada setiap penjenayah, yang melakukan aktiviti di sepanjang Zon Maritim Malaysia.

“Melalui penemuan ini, ia membuktikan bahawa masih terdapat penjenayah yang cuba mengaburi mata pihak penguatkuasa, dengan mempelbagaikan taktik menyeludup terutamanya dadah dan cuba menguji anggota penguatkuasa menjalankan tugas,” katanya.

-- BERNAMA



 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan