Selasa, 01 Disember 2020
SELATAN
21/11/2020 09:32 PM

Oleh Nur Fadhliana Shaari

ISKANDAR PUTERI, 21 Nov -- Kawasan ekopelancongan Kampung Sungai Melayu di sini menyaksikan aktiviti perniagaan dan pelancongan mula kembali selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor tamat lebih awal daripada tempoh ditetapkan. 

Peniaga keropok ikan dan ternakan kupang, Rosmah Saim, 50, berkata tamatnya PKPB sedikit sebanyak memberi harapan kepadanya untuk bangkit selepas berdepan kerugian akibat pandemik COVID -19, malah kehadiran pengunjung ke kampung itu juga menunjukkan peningkatan.

"Baru hari ini sambung balik berniaga. Nampaknya, ada juga orang yang membeli walaupun kurang daripada seperti biasa kerana lazimnya pembeli datang dari Kuala Lumpur, Singapura dan Melaka. Buat masa ini, saya memang mengharapkan penduduk tempatan sahaja.

"Jika ditanya tentang pendapatan yang terjejas, memang terjejas…kerana kebanyakan kami bergantung kepada kedatangan pelancong dan ekopelancongan iaitu pelancong naik bot, pergi memancing. Bila berlaku COVID-19, ramai yang takut untuk datang,” katanya yang berniaga sejak 2016, ketika ditemui pemberita, hari ini.

Kampung Sungai Melayu yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru merupakan destinasi ekopelancongan bagi pencinta alam semula jadi dari dalam dan luar negara.

Terletak berhampiran pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor di Kota Iskandar, Kampung Sungai Melayu yang berusia lebih 100 tahun itu dikelilingi kawasan paya bakau dan sungai serta mempunyai nilai keunikan tersendiri dengan keadaan persekitaran perkampungan yang sungguh mendamaikan.

Pernah dipilih sebagai projek perintis ekopelancongan menerusi Program Kawan Iskandar Malaysia pada tahun 2013, kampung itu dipilih bukan sahaja bagi menarik kedatangan pelancong, malah bertujuan mengekalkan warisan tradisi kampung Melayu.

Sementara itu, seorang guru di sebuah sekolah menengah, di bandar raya ini, Muhammad Nabil Abdullah, 33, berkata beliau dan isteri memanfaatkan peluang menghilangkan tekanan, hari ini, dengan menaiki bot menyelusuri Sungai Melayu untuk melihat keindahan paya bakau, flora dan fauna serta spesies burung yang unik di kawasan terbabit.

"Rasanya sudah terlampau lama berkurung di rumah dan bekerja dari rumah. Ia bukan semudah yang kita sangka dan saya sebagai guru merasakan satu cabaran besar untuk saya mengajar anak murid dari rumah. Jadi, saya ambil peluang pada hujung minggu, hari ini, untuk berehat dengan berkunjung ke sini.

"Saya sendiri sebagai rakyat Johor tidak menyangka ada kawasan ekopelancongan yang menarik seperti ini. Ini sekali gus dapat membantu ekonomi masyarakat setempat kerana mereka sangat terkesan dan mereka sangat mengharapkan kehadiran orang luar,” katanya.

Semalam Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa PKPB akan ditamatkan berkuat kuasa hari ini di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu, lebih awal berbanding 6 Dis depan seperti diumumkan sebelum ini. Bagaimanapun, PKPB masih berkuat kuasa di Kota Tinggi dan Mersing di Johor. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan