Sabtu, 05 Disember 2020
SELATAN
21/11/2020 05:52 PM

JOHOR BAHRU, 21 Nov  -- Seorang veteran tentera laut yang tinggal di Kampung Cahaya Baru, Pasir Gudang, di sini, kini hanya mengenang nasib dirinya yang terlantar selepas diserang strok tahun lepas, sekali gus menyebabkannya lumpuh separuh badan.

Roslin Hanapi, 59, yang berkhidmat selama 18 tahun dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut mengalami masalah ingatan dengan kerap lupa terhadap sesuatu perkara.

Bapa kepada lima cahaya mata itu kini mengharapkan bantuan isteri, Norizan Shahari, 56, untuk menguruskan dirinya setiap hari selain membantu mencari pendapatan dengan berniaga di sebuah warung.

“Saya rasa sihat, cuma rindu hendak berjalan seperti biasa, rindu mahu keluar rumah dan bekerja untuk tampung keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan dan serahan bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas Datuk Che Zakaria Mohd Salleh menerusi Program Anita South Rider Rentas Kemanusiaan 2020, di rumahnya, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Cawangan Negeri Johor Mejar Hairi Muhamad Radzi dan Presiden Anita Bikers Club Malaysia Anita Yusop.

Roslin yang menamatkan perkhidmatannya sebagai anggota TLDM pada tahun 2000, sebelum ini bekerja di sebuah kilang selama 13 tahun dan kemudian terpaksa berhenti selepas diserang penyakit berkenaan.

Sementara itu, Norizan berkata dia menjaga Roslin dengan berbekalkan pendapatan yang diperoleh daripada berniaga sarapan pagi setiap hari iaitu kira-kira RM500 sebulan, selain bantuan daripada lima anak dengan tiga daripada mereka sudah berkahwin.

Katanya, Roslin setakat ini belum menerima sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana masih menunggu untuk mendapatkan laporan kesihatan daripada sebuah hospital kerajaan.

“Saya harap sangat dapat pencen ilat suami daripada Perkeso atau JKM…sebab sangat membantu untuk keperluan suami kerana dia menggunakan lampin pakai buang dan lain-lain. Malah, katil dan kerusi roda juga adalah hasil bantuan pihak yang prihatin,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Norizan di talian 013-7814843 atau menyalurkannya menerusi akaun bank CIMB bernombor 150100117751525.

Roslin merupakan antara tujuh veteran tentera di negeri ini yang disantuni menerusi Program Jelajah Anita South Rider Rentas Kemanusiaan 2020 anjuran Anita Bikers Club Malaysia dengan kerjasama JHEV, yang dalam masa sama untuk mempromosikan Kempen Tabung Pahlawan 2020.

“Program ini sekali gus bukan sahaja memberi kesedaran dan menyantuni veteran dan pahlawan kita, malah mereka yang masih lagi bertugas dan tidak mempunyai keupayaan. Jadi kita bantu mereka,” katanya dan menambah lebih 50 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada Anita Bikers Club Malaysia dan Persatuan Motosikal Negeri Johor Darul Ta’zim menyertai program menjejaki pahlawanan negara itu di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan