Selasa, 01 Disember 2020
TIMUR
20/11/2020 03:42 PM

KUANTAN, 20 Nov  -- Kerajaan negeri Pahang menerusi Tourism Pahang menjalin kerjasama  dengan kelab permotoran Asia Brotherhood Centre (ABC) bagi mempromosikan produk pelancongan di negeri ini untuk lebih dikenali dalam kalangan peminat aktiviti permotoran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, Pahang dipercayai negeri pertama menjalin kerjasama seperti itu, dalam usaha merancakkan semula sektor pelancongan yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19. 

“Berdasarkan kerjasama ini, ABC akan membantu mempromosikan produk pelancongan Pahang yang  kemudiannya akan disenaraikan dalam pitstop Malaysia Local Route (MLR), iaitu jaringan laluan yang boleh menjadi rujukan kepada kumpulan permotoran, selain kumpulan pelancong seperti ‘backpackers’.

“Selain lokasi menjamu selera, ia juga melibatkan kawasan seperti industri desa, penghasilan produk kraftangan, inap desa, lokasi agro pelancongan dan aktiviti kesenian serta kebudayaan, yang menjadi keunikan Pahang,” katanya. 

Mohd Sharkar berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Pahang yang diwakili Pengurus Besar Datuk Ishak Mokhtar dan ABC menerusi pengerusinya Datuk Seri Azmi Razil Razak di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini. 

Sementara itu, Azmi Razil optimis ABC akan dapat membantu merancakkan sektor pelancongan Pahang, kerana sudah bertapak di tujuh negara termasuk Thailand dan Indonesia, selain mempunyai lebih 800,000 ahli di sekitar Asia.

Katanya, promosi pelancongan itu juga menjadi serampang dua mata kepada ABC, untuk mengetengahkan isu keselamatan jalan raya khusus kepada golongan muda dalam aktiviti permotoran, yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kelab.

“Sebagai permulaan, kita merancang menganjurkan ‘Ride’ Sempadan Pahang selama tiga hari mulai 25 Dis ini yang akan menyaksikan 60 buah motosikal berkonvoi mengelilingi semua daerah di Pahang,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan