Ahad, 25 Oktober 2020
SELATAN
16/10/2020 08:03 PM

JOHOR BAHRU, 16 Okt -- Seorang wanita bersama anak saudara lelakinya antara enam suspek ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran hasil tiga serbuan berasingan di sekitar Muar, Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dadah bernilai kira-kira RM1 juta turut dirampas dalam operasi khas yang disertai sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan JSJN Muar.

“Kedua-dua rakyat tempatan berumur 20 dan 31 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta dalam operasi pada pukul 4 petang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata penahanan mereka dilakukan susulan tangkapan dua lelaki tempatan berumur 24 dan 32 tahun yang menaiki sebuah bot fiber bersama 1.07 kilogram syabu oleh pasukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di kawasan laut Parit Sakai dekat Muar, 13 Okt lepas.

Menurut Ayob Khan, dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari Kuala Lumpur untuk diseludup ke Bengkalis, Sumatera, Indonesia.

“Hasil soal siasat terhadap ibu saudara dan anak saudara lelakinya itu, kita berjaya merampas 14.6 kilogram syabu dan 9,905 biji pil ekstasi di kawasan kebun kelapa di sekitar daerah terbabit.

“Kita dapati suami kepada wanita terbabit juga sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama (menyeludup dadah) dan mereka mempunyai saudara di Bengkalis,” katanya.

Ayob Khan berkata nilai keseluruhan rampasan dadah menerusi dua operasi tangkapan itu adalah RM924,190, manakala dua bot fiber, sebuah kereta Perodua Viva dan motosikal Yamaha Solaris yang dirampas dalam kedua-dua operasi pula disita.

Dalam operasi berlainan, beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia berumur 34 dan 39 tahun di sekitar Muar, pada 2.30 petang, Rabu lepas kerana dipercayai turut menyeludup dadah ke Bengkalis.

Katanya, kedua-dua suspek terlibat dalam sindiket berlainan, namun, menggunakan modus operandi sama iaitu mendapatkan dadah dari Kuala Lumpur untuk diseludup ke Bengkalis.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 3.10 kilogram syabu bernilai RM124,000.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan