Ahad, 25 Oktober 2020
SELATAN
11/10/2020 06:42 PM

JOHOR BAHRU, 11 Okt -- Seorang tekong dan tiga kru bot nelayan menggadai nyawa dengan terjun ke laut dan terapung selama enam jam sebelum diselamatkan, selepas bot dinaiki karam, dipercayai akibat dilanggar kapal dagang, dalam kejadian di perairan Muar malam tadi.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Goh Cheng Ho, 53 serta tiga krunya, Abdul Rahman Chia Abdullah, 55; Abd Rashid Salamat, 22 serta Johari Utoh, 38, diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kira-kira 11 pagi tadi.

Beliau berkata bot dinaiki kesemua nelayan tempatan itu dipercayai dilanggar kapal dagang kira-kira 11 malam tadi sebelum karam pada kira-kira 5 pagi yang menyebabkan kesemua nelayan bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri.

APMM Johor menggerakkan sebuah bot untuk menyelamatkan nelayan terbabit selepas menerima maklumat mengenai kejadian, katanya dalam kenyataan.

Katanya kesemua nelayan itu kemudian dibawa ke Jeti APMM Batu Pahat dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat bagi pemeriksaan kesihatan.

Beliau meminta orang ramai yang berdepan sebarang kecemasan di laut agar menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan