Isnin, 28 September 2020
UTARA
14/09/2020 05:33 PM

GEORGE TOWN, 14 Sept  -- Kerajaan negeri Pulau Pinang menyasarkan untuk mewujudkan 100 hab kebun komuniti berkonsepkan pertanian bandar di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif itu adalah sejajar dengan visi Pulau Pinang 2030 dalam menjadikan negeri yang hijau, pintar dan bertumpukan kekeluargaan yang memberi inspirasi kepada negara.

“Inisiatif ini (untuk melaksanakan kebun komuniti bandar) bukan hanya dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri tetapi juga komuniti, agensi, institusi dan organisasi lain boleh melakukannya sekiranya terdapat ruang,” katanya selepas melancarkan projek perintis Kebun Kitar di Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 1 (PDL1) di sini hari ini.

Kebun Kitar ialah kebun komuniti bandar pertama di Pulau Pinang dilancarkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Think City.

Kebun berkeluasan 2,000 kaki persegi (185.81 meter persegi) itu dipertingkat dengan sistem Smart dibangunkan oleh UPSI yang menggabungkan teknologi campuran, termasuk pengairan automatik, hidroponik menegak dan panel solar untuk tenaga, penuaian air hujan dan sistem pengurusan sisa sifar yang komprehensif.

Sementara itu, Pengarah Urusan Think City Hamdan Abdul Majeed berkata dengan pelaburan awal sebanyak RM50,000 kepada model Kebun Kitar, kebun bandar itu akan menyalurkan 60 peratus hasilnya kepada masyarakat B40 melalui platform digital Kita 2 Kita (K2K) Think City.

“Setiap tuaian mampu diberikan kepada 400 isi rumah, manakala 40 peratus tuaian lagi akan dijual kepada masyarakat umum bagi menampung kos operasi,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga peluang untuk membuat model Kebun Kitar yang sama di lokasi lain seluruh negara pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan