Sabtu, 04 Julai 2020
UTARA
27/06/2020 05:08 PM

GEORGE TOWN, 27 Jun -- Kementerian Alam Sekitar dan Air akan memberi peluang kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR), walaupun terdapat bantahan daripada beberapa pihak termasuk terbaharu dari parti PAS.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri Pulau Pinang perlu mematuhi semua syarat dan ketetapan yang dinyatakan dalam Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) bagi menjalankan projek itu.

"Kita beri peluang kepada kerajaan negeri untuk memenuhi semua keperluan terlebih dahulu dan lihat seterusnya. Selagi ia mampu memenuhi keperluan yang ditetapkan, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh kerajaan negeri.

"Kita harus berlaku adil kepada semua pihak, tidak kiralah kerajaan negeri mana sekali pun, ini adalah negara demokratik. Bagi PAS pula, tiada yang salah bagi parti itu untuk menyerahkan memorandum bantahan itu berikutan keprihatinan mereka terhadap rakyat dan alam sekitar, ini juga akan mewujudkan keseimbangan positif iaitu check and balance," katanya kepada pemberita selepas hadir Program Sinergi Hijau Melestarikan Alam Sekitar dan Kampus Hijau di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

PAS Pulau Pinang baru-baru ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya membatalkan persetujuan perjanjian untuk projek tambakan itu yang didakwanya boleh menyebabkan kerosakan kekal pada alam sekitar dan nelayan di Pulau Pinang serta Perak.

Ahmad Masrizal berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air juga terbuka untuk mengadakan  perbincangan di antara PAS dan kerajaan negeri Pulau Pinang bagi menjelaskan isu serta prosedur projek itu.

"Seperti yang saya katakan, Kementerian (Alam Sekitar dan Air) berusaha memberi ruang dan peluang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan terlebih dahulu dan setelah itu, kami lihat sama ada mereka mematuhinya atau sebaliknya sebelum mengambil tindakan lanjut," katanya.

Mengulas lanjut, katanya kontroversi mengenai projek tambakan laut bagi membina tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang itu bukanlah perkara baharu dan ia berlanjutan hingga sekarang.

"Hanya aspek kementerian terlibat terus dalam projek itu dalam konteks meluluskan laporan EIA. Bagaimanapun, mungkin terdapat beberapa kekeliruan. Apabila kita memperkatakan mengenai kelulusan, ia perlu dilihat dalam konteks yang turut memenuhi semua 72 keperluan," katanya.

Pelaksanaan PSR seluas hampir 17km persegi adalah membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.

Ia dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang bernilai RM46 bilion.

-- BERNAMA 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan