Sabtu, 04 Julai 2020
27/06/2020 11:54 AM

GEORGE TOWN, 27 Jun --  Dua kes Japanese Encephalitis (JE) yang dilaporkan di Pulau Pinang membabitkan dua mangsa kanak-kanak berusia dua dan lapan tahun dengan seorang daripadanya masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang(HPP).

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Asmayani Khalib berkata kedua-dua kanak-kanak itu menerima rawatan sejak Isnin lalu namun seorang daripadanya telah dibenarkan pulang.

Dua kanak-kanak itu masing-masing dari Kampung Badak Mati dan Taman Kuang, Sungai Bakap, dekat sini, dilaporkan dalam keadaan stabil, namun kenyataan itu tidak memperincikan mangsa yang mana masih menerima rawatan di HPP.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sudah meminta Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan di kawasan sekitar lokaliti kes melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan sejak Selasa lalu, iaitu sehari selepas kes dilaporkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Asmayani berkata sebanyak 4,068 bekas telah diperiksa di kawasan berkenaan dan pihaknya menemukan 18 daripadanya mengandungi tempat pembiakan nyamuk Culex serta sudah  disembur dengan bahan pembunuh jentik-jentik.

Katanya, selain itu, pihaknya turut menjalankan aktiviti semburan kabus  meliputi semua 1,082 premis di kawasan berkenaan dalam lingkungan dua kilometer radius daripada rumah kes iaitu membabitkan kediaman dua kanak-kanak tersebut.

"Aktiviti pengesanan kes aktif turut dijalankan di kawasan kediaman mangsa  membabitkan 3,806 penduduk dengan kesemuanya tidak mempunyai gejala JE. JKNPP juga mengeluarkan 'JE Alert' kepada hospital dan pejabat kesihatan daerah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam pengesanan kes baharu JE," katanya.

Beliau berkata JKNPP turut bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) bagi membasmi penularan JE di kawasan berkenaan dan setakat ini sebanyak lapan ladang khinzir yang mana tiga daripadanya terletak dalam lingkungan 1.5 kilometer dari kawasan kes.

"Sampel daripada khinzir juga sudah diambil dan dihantar ke makmal untuk pengesanan virus JE.Pengusaha ladang khinzir dipohon supaya mematuhi amalan penternakan yang baik untuk meningkatkan tahap kebersihan ladang serta bebas daripada tempat pembiakan nyamuk terutamanya nyamuk Culex," katanya.

Bagi tempoh Januari hingga kelmarin, sembilan kes termasuk satu kes kematian JE dilaporkan di Malaysia berbanding 12 kes dan tiga kematian bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Kes yang dilaporkan tahun ini adalah tiga dari Sabah, dua (Kedah), dua (Pulau Pinang) dan masing-masing satu dari Sarawak dan Perak.

-- BERNAMA

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan