Sabtu, 04 Julai 2020
UTARA
26/06/2020 09:47 PM

GEORGE TOWN, 26 Jun -- Jabatan Perikanan Pulau Pinang merampas 720 bubu naga bernilai kira-kira RM72,000 yang terlibat dalam 22 kes berkaitan kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan di perairan negeri sejak awal Januari hingga semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang Noraisyah Abu Bakar berkata daripada jumlah itu, bulan Jun merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 11 kes membabitkan rampasan 350 unit bubu naga.

Beliau berkata semalam, satu pasukan penguat kuasa telah merampas 14 unit bubu naga sepanjang 20 meter setiap satu dan menahan seorang nelayan kelas A berumur 58 tahun yang sedang leka memasang bubu berkenaan di kedudukan 0.3 batu nautika dari Kuala Sungai Changkat, Seberang Perai Selatan.

"Penahanan lelaki semalam merupakan tangkapan pertama tahun ini…. biasanya kita merampas (bubu naga) sahaja kerana nelayan sempat melarikan diri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya sepanjang tahun lepas 841 bubu naga bernilai RM84,100 dirampas membabitkan 53 kes.

Noraisyah berkata pihaknya meningkatkan operasi pada bulan Jun berikutan menerima banyak aduan berhubung penggunaan bubu naga dan risikan yang dijalankan mendapati masih terdapat nelayan yang menggunakan kaedah itu.

Katanya penggunaan bubu naga itu memberikan kesan negatif terhadap sumber perikanan kerana ia akan mengakibatkan benih ikan serta ikan bersaiz kecil juga akan terperangkap dalam bubu berkenaan, dan ini akan menjejaskan kelestarian sumber perikanan terjejas.

Beliau berkata harga bubu naga yang murah iaitu sekitar RM100 seunit dan hasil tangkapan lebih lumayan menjadi antara penyebab bubu naga masih banyak digunakan biarpun pihak berkuasa sering menjalankan operasi bagi mengekang kegiatan itu.

Menurutnya berdasarkan maklumat, ada nelayan mendapatkan bekalan bubu naga dari China dan Thailand, malah ada yang membelinya secara dalam talian kerana lebih mudah.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan