Sabtu, 30 Mei 2020
23/05/2020 04:52 PM

GEORGE TOWN, 23 Mei -- Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Pulau Pinang telah menarik semula sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH).

Susulan pengesahan tersebut, ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifli Md Lazim kini menjadi wakil rakyat pembangkang di negeri itu.

Bagaimanapun, tindakan kedua-dua ADUN itu tidak mempengaruhi keseimbangan kuasa di Pulau Pinang dengan PH masih menguasai 35 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketika dihubungi Bernama hari ini, kedua-dua ADUN itu senada menyatakan pendirian untuk bersama parti Bersatu dan menyokong kepimpinan presiden merangkap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Khaliq Mehtab berkata beliau akan mengikuti hala tuju parti dengan memberi sokongan kepada Muhyiddin.

"Walau apa pun, pendirian kami adalah selari dengan Bersatu di peringkat Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Zolkifli, mendakwa namanya telah digugurkan daripada senarai majlis kerajaan negeri sejak kebelakangan ini dengan beliau tidak diundang untuk menghadiri majlis penyerahan bantuan kepada nelayan di kawasan Balik Pulau baru-baru ini.

"Pendirian saya adalah saya bersama parti dan kini parti bukan lagi bersama PH, jadi saya juga sama. Kami kini menjadi sebahagian daripada pembangkang di Pulau Pinang," katanya.

Baru-baru ini, Khaliq Mehtab dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), sebuah agensi di bawah kerajaan pusat, manakala Zolkifli dilantik sebagai anggota Lembaga Penasihat Mara Corp Sdn Bhd, satu cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

-- BERNAMA

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan