Isnin, 25 Mei 2020
TIMUR
22/05/2020 09:15 PM

KUALA TERENGGANU, 22 Mei -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan penggabungan UMT dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata perkhabaran itu memberi kelegaan kepada semua warga universiti sewaktu menghadapi pelbagai dugaan ketidaktentuan bagi perancangan hala tuju tahun 2020/2021 dan juga keadaan getir yang menimpa akibat pamdemik COVID-19.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dan juga setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih buat Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad kerana mempertimbangkan, mendengar serta meneliti pandangan dari pelbagai pihak dalam membuat keputusan penting ini. 

"UMT telah melalui pelbagai fasa penjenamaan dan evolusi penubuhan sejak 1979 lagi. Pelbagai kejayaan yang telah dicipta oleh UMT dalam merapatkan jurang antara institusi ini dengan universiti bertaraf universiti penyelidikan.

"Hasil pencapaian yang terlakar sepanjang tempoh perkembangan universiti ini tidak mungkin dilenyapkan begitu sahaja, baik dalam pencapaian akademik, kokurikulum pelajar, kualiti penyelidikan serta pengiktirafan peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini dalam kenyataan hari ini mengumumkan rancangan penggabungan antara kedua-dua universiti itu tidak akan diteruskan, dan keputusan mesyuarat jemaah menteri itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor dan cabaran semasa.

Dalam pada itu Nor Aieni berkata pengiktirafan falsafah dan sejarah penubuhan UMT tidak mungkin dilenyapkan begitu sahaja.  

"Produk UMT iaitu alumni yang telah pun mencapai angka lebih 30,000 orang juga bertindak sebagai duta UMT ke pelusuk dunia. Mereka jugalah yang menjadi kekuatan untuk bersuara mempertahankan kesejahteraan dan kecemerlangan berterusan bagi UMT.

"UMT telah melahirkan alumni yang berjaya dan sedang menabur bakti kepada negara serta mengharumkan nama Malaysia di luar negara. Seluruh warga UMT dan alumni menzahirkan rasa syukur kerana kebajikan serta peluang pekerjaan bagi staf berstatus bukan tetap pun dapat diteruskan bagi mencurahkan bakti di UMT yang tercinta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan