Isnin, 25 Mei 2020
TIMUR
22/05/2020 09:46 AM

KUALA TERENGGANU, 22 Mei  -- Seramai 668 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu akan bertugas sepanjang Aidilfitri pada tahun ini mengikut syif bekerja yang ditetapkan untuk memantau keselamatan orang ramai.

Pengarah JBPM negeri, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, jumlah itu adalah 80 peratus daripada kekuatan anggota yang ada di Terengganu ketika ini.

"Kita ada 836 anggota dan daripada jumlah itu, hanya 20 peratus atau 168 orang sahaja yang dibenarkan bercuti pada musim perayaan kali ini.

"Kira-kira 80 peratus anggota yang bertugas akan terlibat dengan pemantauan dan rondaan di lokasi jalan raya yang dikenal pasti serta bersiap sedia untuk sebarang kes kecemasan," katanya kepada pemberita di sini. 

Anggota yang bertugas akan mempertingkatkan pemantauan dan rondaan terutama di lokasi bahaya yang sering berlakunya kemalangan jalan raya, operasi memadam kebakaran dan pemantauan aktiviti rekreasi di laut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau berkata pada tahun ini, pihaknya kurang memfokuskan pemantauan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2) berbanding musim perayaan tahun-tahun sebelum ini kerana jumlah pergerakan kereta yang berkurangan susulan larangan rentas negeri.

"Namun, jentera bomba kita telah mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di semua jalan persekutuan, jalan negeri dan sekitar kawasan perumahan beberapa hari lepas sehinggalah selepas Aidilfitri.

"Rondaan dilakukan pada waktu puncak sebanyak tiga kali sehari ketika ramai berada di jalan raya untuk membolehkan kita memberi pertolongan cemas secepat mungkin sekiranya diperlukan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan