Jumaat, 29 Mei 2020
TIMUR
21/05/2020 04:33 PM

DUNGUN, 21 Mei  -- Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), anak syarikat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), hari ini menyerahkan zakat sebanyak RM721,815.15 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Pengerusi Ketengah Datuk Razali Idris berkata bayaran zakat pada tahun ini mencatat peningkatan berbanding tahun lepas iaitu RM402,399.05.

"Ketengah bersyukur kerana mampu membayar zakat lebih banyak pada tahun ini berikutan peningkatan keuntungan kumpulan syarikat KHSB iaitu sebanyak RM26,282,520 berbanding tahun sebelum ini yang berjumlah RM16,394,462 iaitu peningkatan sebanyak 60.31 peratus.

"Peningkatan pengeluaran buah tandan bersih merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan keuntungan yang diperoleh di samping kecekapan dalam pengurusan syarikat," katanya selepas majlis penyerahan zakat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam M Rozi Bidin di sini hari ini.

Daripada jumlah RM721,815.15 itu, zakat tertinggi disumbangkan Ketengah Perwira Sdn Bhd iaitu RM275,999.40 diikuti KHSB (RM144,949), Ketengah Jaya Sdn Bhd (RM136,866.18), Kilang Sawit Panji Alam Sdn Bhd (RM99,645.95), YIT-Ketengah Perwira Sdn Bhd (RM27,460.80), Kolej Ketengah Sdn Bhd (RM13,487.80), Kuari Trengganu Tengah Sdn Bhd (RM12,525.13), Ladang Ternak Tani Sdn Bhd (RM7,389.63) dan Kebunika Sdn Bhd (RM3,491.28). 

Razali berkata KHSB menerusi 13 syarikat (anak syarikat, usaha sama dan syarikat bersekutu) telah menjalankan kegiatan ekonomi meliputi hampir separuh wilayah di Terengganu.

"KHSB diperbadankan pada 9 Julai 2003 dan merupakan syarikat induk kepada anak syarikat dan usaha sama Ketengah.

“Kumpulan  KHSB ini terdiri daripada syarikat-syarikat perladangan dan perkilangan yang mana aktiviti utamanya ialah mengeluar dan memproses kelapa sawit kecuali Ketengah Holding, yang merupakan syarikat induk iaitu syarikat pelaburan,” katanya.

Beliau berkata KHSB memfokus kepada enam sektor perniagaan iaitu perladangan dan komoditi, kuari, hartanah, pelancongan, pendidikan dan penternakan.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan