Sabtu, 30 Mei 2020
SELATAN
17/05/2020 07:04 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mei  -- Meskipun sibuk dengan tugas seharian, polis Johor tetap tidak melupakan bekas anggota dan pegawainya dengan menyantuni pesara polis yang terlantar dengan membuat kunjungan dan memberi sumbangan di seluruh daerah di Johor sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata beliau berharap kunjungan sebegitu akan diteruskan dan menjadi budaya bagi menghargai warga pesara di negeri ini.

“Mereka berbesar hati kita ziarah dan beri sumbangan, bagi saya sumbangan ini kecil sahaja tetapi yang penting kita ziarah mereka khususnya yang pernah bertempur dengan komunis dan sebagainya.

“Saya juga usahakan untuk dapatkan sumbangan daripada kerajaan negeri untuk kita salurkan lagi kepada pesara dan balu polis ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Sambutan Aidilfitri kepada warga polis kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata sumbangan yang diberikan adalah berbentuk wang tunai dan juga barangan keperluan asas.

Menurutnya, Johor merupakan negeri yang mempunyai pesara yang ramai iaitu lebih 8,000 orang, selain mempunyai persatuan pesara paling aktif antara kontinjen di negara ini.

Tambahnya, kerajaan negeri mempunyai peruntukan dan dana khusus untuk pesara dan termasuk juga pegawai dan anggota polis kurang upaya bersempena perayaan Hari Raya Aidilfitri setiap tahun.

Terdahulu, seramai 141 penerima melibatkan pesara, balu, pesakit hemodialisis, pembantu am pejabat dan warga polis kurang upaya (OKU), menerima sumbangan berbentuk wang tunai.

-- BERNAMA  

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan