Sabtu, 30 Mei 2020
SELATAN
17/05/2020 01:28 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mei  -- Sebanyak lima pemborong utama ayam di negeri ini disiasat pihak berkuat kuasa berhubung kenaikan harga jualan ayam yang mendadak di Johor.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan siasatan turut dijalankan ke atas tiga peladang bagi melihat punca kenaikan harga barangan kawalan terbabit.

Siasatan berikut adalah susulan aduan yang diterima pihak KPDNHEP berhubung kenaikan harga jualan ayam di premis-premis runcit di seluruh negeri ini yang mencetuskan kegusaran pengguna yang akan menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Berikutan maklumat yang diterima, KPDNHEP Johor telah melaksanakan pemeriksaan serta merta ke atas premis-premis runcit yang menjual ayam pada harga tinggi. 

“Sebanyak 71 pemeriksaan dijalankan dengan tumpuan utama ke atas gerai di pasar-pasar awam. Daripada 71 premis yang diperiksa, 37 peruncit telah diberikan notis bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga,” menurut kenyataan itu. 

KPDNHEP memberitahu siasatan awal yang dijalankan menunjukkan kenaikan harga ayam berkenaan berlaku dalam masa satu minggu kebelakangan ini.

“KPDNHEP Johor sedang dan akan meneruskan siasatan ke atas pemborong dan peladang yang lain jika didapati terlibat dengan kenaikan harga ayam,” katanya.

Menurut kementerian itu, pihaknya menegaskan mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual pada harga yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Di bawah peruntukan akta itu, seseorang individu boleh didenda sebanyak RM100,000 atau dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua pula didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM1,000,000 bagi kesalahan kali kedua.

-- BERNAMA 

 

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan