Selasa, 07 April 2020
UTARA
26/03/2020 08:54 PM

GEORGE TOWN, 26 Mac -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyalurkan sumbangan kira-kira RM6 juta bagi membantu golongan yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bantuan tersebut adalah sejajar dengan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bernilai RM75 juta yang diumumkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, semalam dikhususkan untuk memerangi COVID-19.

"Beberapa inisiatif akan diambil untuk meringankan beban umat Islam yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Pakej Bantuan Khas Zakat COVID-19 bagi Fasa 1 dengan peruntukan sebanyak RM3 juta yang menyasarkan golongan peniaga kecil dan penjaja gerai tepi jalan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata setakat 6 petang semalam, Zakat Pulau Pinang (ZPP) telah menerima hampir 3,000 borang secara dalam talian bagi memohon bantuan khas zakat itu dan tarikh tutup permohonan pada 27 Mac ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata ZPP juga telah menyalurkan Bantuan Kewangan Sara Hidup Bulanan lima hari lebih awal daripada kebiasaan untuk bulan ini dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta melibatkan seramai 3,673 penerima.

"Selain itu, wang bantuan kecemasan sebanyak RM1 juta akan disalurkan ke dalam akaun bank masjid kariah dengan nilai bantuan adalah RM100 bagi setiap keluarga. ZPP juga akan memberi tumpuan kepada beberapa golongan melalui Pakej Bantuan Khas Zakat Fasa Kedua.

"Golongan yang dimaksudkan termasuklah guru agama, guru tahfiz, pemandu perkhidmatan e-hailing sepenuh masa dan pekerja bergaji harian sepenuh masa yang tidak mempunyai sebarang pendapatan ekoran PKP. Maklumat mengenai permohonan bantuan tersebut akan dimaklumkan melalui platform media sosial ZPP dalam masa terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata MAINPP turut memberikan pengecualian sewa selama dua bulan kepada penyewa premis MAINPP di samping mewujudkan Tabung Wira Negara MAINPP dengan pihaknya menyalurkan dana RM50,000 ke dalam tabung itu bagi membantu barisan hadapan wira negara yang bertugas di Pulau Pinang.

Pihak korporat dan individu boleh menderma di Tabung Wira Negara MAINPP menerusi akaun Bank Islam 07025010036936, katanya.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan