Selasa, 07 April 2020
UTARA
26/03/2020 07:07 PM

GEORGE TOWN, 26 Mac -- Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menghalang tugas anggota polis yang membuat sekatan jalan raya Ops COVID-19 dan melakukan khianat ke atas peralatan yang digunakan polis semasa sekatan itu, Sabtu lepas.

S. Thiaagu, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Thiaagu yang juga seorang penganggur didakwa menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota polis yang membuat sekatan jalan raya Ops COVID-19 di Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran Petronas Kampung Jawa Bayan Lepas, dekat sini pada 1 pagi, 21 Mac lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat ke atas baton polis yang digunakan semasa sekatan itu, hingga menyebabkan kerosakan pada peralatan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Untuk kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Thiaagu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya dengan memecut laju dan melanggar sekatan jalan raya itu sehingga mendatangkan bahaya kepada anggota polis yang bertugas serta orang awam pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun, dan denda sehingga RM15,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 untuk tiga pertuduhan itu dan menetapkan 12 Mei bagi menjatuhkan hukuman serta sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabila Huda Muhammad Nazim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Cheah Eng Soon.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan