Selasa, 07 April 2020
UTARA
26/03/2020 07:01 PM

GEORGE TOWN, 26 Mac  -- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menangguhkan permohonan kebenaran berkahwin dan majlis akad nikah bermula 1 April sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir 14 April ini.

Pengarahnya, Zulkifli Long, berkata pengantin yang mendapat kebenaran untuk mengadakan majlis akad nikah sehingga 31 Mac ini dibenarkan berbuat demikian mengikut tatacara yang ditetapkan JHEAIPP.

"Kebenaran menjalankan majlis akad nikah diberikan kepada 152 pasangan di negeri ini bermula 18 hingga 31 Mac ini. Mereka memohon bernikah sebelum pelaksanaan PKP.

"Namun, bermula 1 April ini, kami tidak lagi meluluskan permohonan majlis akad nikah sehinggalah PKP tamat. Ia adalah antara usaha kami memastikan penolong pendaftar perkahwinan atau jurunikah tidak terdedah kepada penularan jangkitan COVID-19," katanya kepada Bernama hari ini.

JHEAIPP sebelum ini menetapkan akad nikah boleh dijalankan tanpa kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan seiring dengan arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan penularan COVID-19.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata majlis akad nikah yang mendapat kebenaran JHEAIPP hendaklah dilangsungkan di rumah dan dilarang diadakan di tempat awam seperti masjid, surau atau sebagainya.

Selain itu, majlis berkenaan hanya boleh dihadiri tidak lebih lapan orang yang terdiri daripada jurunikah, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, dua saksi serta dua wakil bagi pihak pengantin lelaki dan perempuan.

"Majlis akad nikah haruslah dijalankan dalam tempoh 15 hingga 20 minit sahaja termasuk khutbah nikah kerana kita tidak mahu ia berlangsung terlalu lama berikutan bimbang penularan COVID-19 dalam kalangan mereka yang menghadiri majlis tersebut," katanya.

Akad nikah juga perlu dijalankan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau jurunikah, katanya.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan