Selasa, 07 April 2020
26/03/2020 06:54 PM

KUANTAN, 26 Mac -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang yang dijadual bermula 13 April ini akan ditangguhkan ke tarikh baharu yang akan ditentukan kelak.

Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Ishak Muhammad, berkata penangguhan itu selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini. 

"Jika perintah itu dilanjutkan lagi, berkemungkinan sidang DUN akan diadakan pada bulan seterusnya kerana kita mempunyai tempoh sehingga akhir Mei untuk bersidang.

"… dan sekiranya keadaan masih tidak mengizinkan, kita akan mencari alternatif lain seperti bersidang dalam tempoh masa minimum bagi memenuhi syarat Undang-Undang Tubuh Negeri Pahang," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Ishak berkata berdasarkan jadual, persidangan akan berlangsung lima hari dengan Pemangku Raja Pahang ,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan merasmikan istiadat pembukaannya. 

PKP mula berkuatkuasa 18 Mac lalu bagi membendung penularan virus COVID-19 dan semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah yang dijadualkan tamat pada 31 Mac dilanjutkan sehingga 14 April ini. 

Dalam perkembangan berasingan, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya, berkata pihaknya menerima sumbangan bilik percuma daripada sebuah hotel di sini untuk dijadikan penginapan petugas barisan hadapan sepanjang pelaksanaan perintah itu. 

"Pihak hotel memberikan 35 bilik secara percuma kepada petugas barisan hadapan dan kami berharap lebih ramai pengusaha hotel tampil untuk membantu kerana ada antara petugas ini datang dari luar Kuantan," katanya. 

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan