Selasa, 07 April 2020
SELATAN
26/03/2020 05:55 PM

BATU PAHAT, 26 Mac -- Seorang pendawai dan tiga remaja lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap pertuduhan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19, dua hari lalu.

Soo Yong Hwa, 19, bersama-sama tiga remaja berumur 17 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadap masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Nurul ‘Izzati Mohamad.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa bergerak dari Jalan Balau Laut, Taman Kota, Yong Peng ke Jalan Parit Bilal, di sini, yang merupakan tempat dalam kawasan jangkitan yang bukan bertujuan melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, pada jam 3.15 pagi, Selasa lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menghalang penjawat awam Sarjan Mohd Azhar Salleh menjalankan tugasnya sebagai anggota sekatan jalan raya di Jalan Kluang-Ayer Hitam, di sini, jam 3.30 pagi pada hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Nurul ‘Izzati menetapkan Soo didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda terbabit manakala denda RM5,000 atau 10 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan kedua.

Kesemua juvana itu pula dibenarkan diikat jamin RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu laporan akhlak mereka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah turut menetapkan 20 Mei depan bagi sebutan semula kes terhadap ketiga-tiga mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dewi Jasmine Amalina Ahmad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan