Selasa, 07 April 2020
TIMUR
26/03/2020 05:18 PM

KOTA BHARU, 26 Mac -- Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Prihatin tanggungjawab  yang digalas petugas barisan hadapan, Balai Polis Kota Bharu mengambil inisiatif menyediakan makan tengah hari, petang dan malam kepada mereka yang bekerja 24 jam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 14 April depan.

Selain petugas keselamatan, makanan yang disumbangkan badan bukan kerajaan dan orang persendirian turut diagihkan kepada petugas media yang membuat liputan sepanjang PKP, kata Ketua Balai Polis Kota Bharu ASP Hasbullah Noor.

"Inisiatif ini diambil oleh Balai Polis Kota Bharu selepas Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan yang menyaksikan banyak kedai makan dan restoran ditutup sehingga perintah berkenaan tamat.

"Ia akan memberi manfaat kepada 196 pegawai dan anggota yang bertugas di Balai Polis Kota Bharu ini serta agensi keselamatan lain yang ditugaskan di enam sekatan jalan raya di daerah ini serta pengamal media," katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Kota Bharu di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi dan Timbalannya, Zabidi Ishar.

Antara menu yang dirancang Ketua jurumasak, Sjn Khalid Yusof yang dibantu enam anggota dari balai itu secara berbeza setiap hari seperti singgang, kari dan masak lemak. 

Dalam pada itu, Zabidi berkata Kemudi merakamkan ucapan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyumbang yang turut bersama-sama kerajaan dalam usaha menangani wabak COVID-19 ini dengan menyediakan makanan kepada petugas media.

"Saya mewakili petugas media di Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Balai Polis Kota Bharu yang turut berkongsi makanan dengan kami, yang saya sifatkan satu pengorbanan besar kepada petugas barisan hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan