Selasa, 07 April 2020
TIMUR
26/03/2020 03:25 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Mac -- Menyedari kesukaran untuk mendapatkan cecair pembasmi kuman di pasaran ketika ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menggunakan kepakaran penyelidik di Institut Bioteknologi Marin (IMB), untuk menghasilkan sendiri produk tersebut mengikut piawaian antarabangsa.

Naib Canselor UMT Profesor Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, cecair pembasmi kuman itu menggunakan 70 peratus bahan aktif yang berasaskan alkohol, kerana kadar tersebut diguna meluas dalam banyak produk sanitasi dan mampu membasmi pelbagai jenis kuman seperti bakteria dan virus yang menyebabkan penyakit. 

"Ramuan tambahan seperti gel aloe vera digunakan bagi tujuan melembap dan minyak ‘essential’ yang berasaskan ‘tea tree’ pula sebagai pengharum, di samping kesan anti kuman yang mana produk ini dihasilkan mengikut piawaian World Health Organization (WHO)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, IMB berjaya menghasilkan 2,000 botol dengan sukatan 50 mililiter pada fasa pertama pengeluaran, yang akan diagihkan kepada warga UMT termasuk para pelajar.

Sementara itu, Pengarah IMB UMT Profesor Dr Yeong Yik Sung berkata, pasukan penyelidiknya mengambil tindakan segera untuk menghasilkan cecair pembasmi kuman itu, bagi memastikan warga UMT dapat mengamalkan tatacara kebersihan, untuk mengekang penularan COVID-19 seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau yang mengetuai pasukan penyelidik itu bersama Timbalan Pengarah IMB UMT Profesor Dr Fadzilah @ Adibah Abdul Majid, turut berdepan dengan kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah untuk penghasilan cecair pembasmi kuman itu, dan botol kosong kerana kedai-kedai kebanyakannya ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun kami telah berjaya mengumpul bahan mentah ini dari semua fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTj) di UMT, yang mempunyai bahan tersebut," katanya yang turut berhasrat mengedarkan produk tersebut untuk kegunaan komuniti sekitar UMT sekiranya bahan mencukupi.

Turut prihatin dengan keperluan barisan hadapan negara dalam menangani penularan wabak COVID-19, warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor pula mengambil inisiatif untuk menghasilkan pelindung muka menggunakan pencetak tiga dimensi (3D).

Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) UTHM, Prof Dr Shahruddin Mahzan, berkata inisiatif yang digerakkan sukarelawan terdiri daripada petugas dan pelajar UTHM itu, berjaya menghasilkan kira-kira 500 unit pelindung muka.

Sehingga hari ini, 30 unit telah diedarkan kepada petugas di kampus manakala 200 unit diedarkan kepada pihak Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang pada 25 Mac lalu dan sebanyak 300 unit pula akan diagihkan kepada pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, esok. 

“Projek yang digerakkan beberapa hari lalu itu pada mulanya dicetuskan dan dipantau oleh Kelab Staf UTHM (KSUTHM) yang diketuai oleh Prof Madya Dr Ahmad Jais Alimin yang kemudiannya dijayakan oleh pasukan lapangan diketuai oleh Prof Madya Dr Mustaffa Ibrahim,” katanya.

Shahruddin turut menyeru golongan saintis, jurutera dan juruteknologi di seluruh negara untuk tampil sama membantu dan menyokong petugas barisan hadapan negara demi menangani penularan pandemik COVID-19.

 -- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan