Selasa, 07 April 2020
SELATAN
26/03/2020 02:43 PM

JOHOR BAHRU, 26 Mac --  Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang dekat sini dijadikan sebagai hospital yang merawat kes COVID-19 di Johor mulai semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R. Vidyananthan berkata langkah itu dibuat Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) berikutan peningkatan jumlah kes COVID-19 di negeri ini. 

"Sehingga semalam (25 Mac), Johor mencatatkan penambahan 34 kes positif COVID-19 yang menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 196 kes.

“Berlaku pertambahan dua kematian menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak lima orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan langkah itu, katanya, kes-kes bukan kecemasan dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.

Vidyananthan berkata pembedahan elektif dan prosedur rawatan harian juga ditangguhkan sementara Jabatan Pesakit Luar dan Perkhidmatan Klinik Pakar dipindahkan ke bekas Bangunan Pentadbiran Kolej Kejururawatan Kluang (bersebelahan Hospital Kluang lama) bermula Ahad ini.

 "Operasi klinikal selepas waktu pejabat juga ditangguhkan dan semua kemasukan pesakit baharu bukan COVID-19 dihentikan kecuali untuk kes-kes bersalin kecemasan," katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama, dan menegaskan sebarang pelawat juga tidak dibenarkan untuk melawat sepanjang tempoh pesakit COVID-19 dirawat di hospital berkenaan. 

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Lain-lain

Laman Korporat
Hubungi Kami
Sebutharga / Tender

Ikut Kami

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan