Baru-baru ini penulis berkesempatan mengunjungi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), sebuah ikon keilmuan negara yang berdiri megah dengan seni bina tersendiri di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Perpustakaan tersebut yang ditubuhkan pada 1966, bertanggungjawab menyimpan koleksi khazanah intelektual negara di peringkat kebangsaan untuk kegunaan masyarakat.
Hal ini selaras dengan misinya, iaitu memperkasa perkhidmatan perpustakaan dan maklumat berkualiti serta memelihara khazanah intelek negara bagi membentuk masyarakat berilmu, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perpustakaan Negara 1972 (Akta 80).
Penulis melihat PNM berperanan penting sebagai sebuah institusi yang memelihara pelbagai bahan rujukan berharga, daripada manuskrip lama hingga koleksi digital terkini untuk generasi semasa dan akan datang.
Apatah lagi dalam era teknologi maklumat, kewujudan PNM kekal relevan sebagai sumber ilmu yang sahih dan dipercayai, seterusnya menyokong usaha melahirkan masyarakat MADANI yang berilmu, berfikiran kritis dan berdaya saing.
Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu
Salah satu koleksi yang menjadi fokus PNM adalah koleksi manuskrip Melayu yang mana pada tahun 1985, Pusat Manuskrip Melayu telah ditubuhkan secara rasmi.
Untuk mengukuhkan peranannya, maka pada tahun 2014 pusat ini telah dijenamakan semula sebagai Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM) yang bertanggungjawab memperoleh, menyimpan dan memelihara bahan manuskrip sebagai warisan negara.
Menurut PNM, sehingga kini PKMM mempunyai 5,405 naskhah manuskrip Melayu asal yang diperolehi secara pembelian atau sumbangan.
Koleksi PKMM tidak terhad kepada manuskrip asal sebaliknya, merangkumi mikrofilem, mikrofis, tesis dan buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang berkaitan manuskrip Melayu.
Mengikut pembahagian bidang, peratusan terbesar koleksi manuskrip Melayu adalah naskhah agama Islam iaitu 70 peratus manakala selebihnya merangkumi pelbagai bidang termasuk kesusasteraan, sejarah, ilmu tradisional Melayu, ketatanegaraan, undang-undang, sains dan teknologi.
Menurut PNM, manuskrip Melayu merupakan karya tulisan tangan dalam skrip atau tulisan Jawi yang dihasilkan dalam bahasa rumpun Melayu pada akhir abad ke-16 sehingga awal abad ke-20 mengenai alam dan tamadun Melayu.
Kewujudan manuskrip-manuskrip ini dengan jelas membuktikan dan mencerminkan pemikiran, budaya dan tamadun masyarakat Melayu pada zaman dahulu.
Pengiktirafan UNESCO
Apa yang menarik perhatian penulis ialah lima daripada koleksi PKMM tersebut telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Warisan Dunia dalam Memory of the World Register, United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).
Naskhah-naskhah tersebut adalah Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Cerita Panji, Asrar al-Arifin dan Sharabul al-Asyiqin.
Hikayat Hang Tuah merupakan antara karya agung yang terpenting dan tertua dalam perbendaharaan Melayu.
Naskhah ini telah membina pandangan dunia mengenai pemikiran orang Melayu menerusi sifat-sifat kepewiraan Hang Tuah dan kuasa pemerintah sekali gus mengangkat maruah, membina personaliti wira bangsa, memupuk nilai-nilai terpuji, mengukuhkan identiti dan imej bangsa Melayu.
Koleksi yang mendapat pengiktirafan UNESCO pada 20 Oktober 2001 itu telah disalin pada tahun 1865 dan merupakan antara yang unik kerana mempunyai iluminasi berupa hiasan, lukisan atau gambar yang sarat dengan nilai estetika tempatan.
Seperti yang kita maklum, Hang Tuah merupakan epik Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan bangsa Melayu tetapi di seluruh rantau Nusantara.
Manuskrip Cerita Panji pula telah mendapat pengiktirafan UNESCO pada 30 Oktober 2017. Ia adalah kisah pada abad ke-13 yang menceritakan pengembaraan Putera Panji, seorang pahlawan Jawa yang mencari Puteri Candra Kirana yang dikasihi, sebelum mereka disatukan semula.
Semasa empayar Majapahit (abad ke-14 hingga ke-15), Cerita Panji menjadi sangat popular, disebarkan oleh pedagang laut, menjadi salah satu kesusasteraan paling popular di Asia Tenggara sekitar abad ke-17 hingga18.
Manuskrip seterusnya yang mendapat pengiktirafan UNESCO pada 24 Mei 2023 adalah Misa Melayu yang mengisahkan tentang sejarah dan peraturan-peraturan istiadat Kesultanan Perak.
Manuskrip ini mengandungi gambaran beberapa peristiwa sejarah yang berkaitan dengan masyarakat Perak pada abad ke-18 yang meninggalkan kesan mendalam terhadap seni, budaya serta pemikiran yang luar biasa dalam tradisi tamadun Melayu.
Menurut PNM, manuskrip Asrar al-Arifin (Rahsia Orang-orang Arif) dan Sharabul al-Asyiqin (Minuman Segala Orang yang Berahi) pula telah diisytiharkan oleh UNESCO sebagai dokumen Warisan Dunia pada 17 April 2025.
Kedua-duanya merupakan karya Hamzah Fansuri, seorang penyair tersohor yang dipercayai dilahirkan pada abad ke-16 di Sumatera Utara.
Pemeliharaan manuskrip Melayu
Di bawah kepemimpinan Ketua Pengarah, Encik Edy Irwan bin Zulkafli, PNM melaksanakan beberapa strategi dalam usaha memastikan kelangsungan dan pemeliharaan manuskrip Melayu.
Antaranya, mengesan, memperoleh dan membina koleksi dalam bentuk asal, mikrofilem, salinan digital melalui pembelian dan sumbangan daripada pemilik naskhah.
Selain itu, menyediakan kemudahan rujukan dan penyelidikan manuskrip Melayu yang memudahkan para penyelidik dan masyarakat untuk akses kepada koleksi tersebut.
Mereka juga mengambil beberapa pendekatan untuk menyebarkan ilmu yang terkandung dalam manuskrip Melayu melalui penyelidikan, promosi dan penerbitan.
Terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh PNM sebagai komitmen menyokong aktiviti penyelidikan dan pemeliharaan manuskrip Melayu.
Antaranya, rujukan manuskrip Melayu asal, salinan digital manuskrip Melayu, khidmat nasihat dan perundingan berkaitan manuskrip yang diperlukan oleh pengunjung.
Pelbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung termasuk ruang rujukan dan penyelidikan manuskrip, galeri pameran, koleksi manuskrip Melayu asal, koleksi jurnal Filologi Melayu selain koleksi tesis dan kertas persidangan yang berkaitan.
Memperkaya pengetahuan
Sesungguhnya, kewujudan PNM melambangkan sebuah institusi penyimpanan khazanah ilmu dan benteng penting dalam memelihara warisan intelektual dan jati diri bangsa.
Koleksi manuskrip Melayu pula membuktikan keunggulan tamadun Melayu, dan menjadi sumber rujukan berharga untuk memahami akar sejarah, pemikiran dan peradaban yang membentuk negara ini.
Justeru, masyarakat perlu memanfaatkan kemudahan yang disediakan, sama ada untuk tujuan pembelajaran, penyelidikan mahupun memperkaya pengetahuan.
Usaha memelihara dan memanfaatkan khazanah ilmu ini bukan sahaja tanggungjawab institusi, tetapi merupakan amanah bersama demi memastikan warisan intelektual negara terus terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
-- BERNAMA
Prof Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Presiden Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE) dan Profesor, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.