Oleh Ts Dr. Mohd Arif Rosli dan Fairus Muhamad Darus
Dunia moden hari ini bergerak sangat pantas.
Kehidupan bandar dipenuhi budaya penggunaan segera, pembelian dalam talian, makanan segera, pembungkusan plastik dan pelbagai produk sekali guna.
Apa yang digunakan hari ini dibuang pada hari yang sama.
Dalam banyak keadaan, masyarakat semakin terbiasa dengan budaya “guna dan buang” tanpa memikirkan ke mana semua sisa itu akhirnya pergi.
Setiap hari manusia menghasilkan berjuta-juta tan sampah, namun jarang sekali bertanya ke mana semuanya berakhir selepas lori kutipan meninggalkan kawasan perumahan.
Hakikatnya, sampah yang dibuang tidak pernah benar-benar hilang.
Sebahagiannya memenuhi tapak pelupusan, mencemarkan sungai dan laut, manakala sebahagian lain kembali kepada manusia dalam bentuk pencemaran udara, peningkatan suhu bandar dan perubahan iklim global.
Apa yang kelihatan kecil di rumah sebenarnya memberi kesan besar kepada bumi secara keseluruhan.
Kini dunia mula menyedari bahawa krisis sisa pepejal bukan lagi sekadar isu kebersihan bandar, tetapi sebahagian daripada cabaran perubahan iklim global.
Menurut laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada tahun 2024, rakyat Malaysia menghasilkan lebih 39,000 tan sisa pepejal setiap hari atau sekitar 1.17 kilogram seorang.
Daripada jumlah itu, sisa makanan merupakan komponen terbesar iaitu sekitar 30.6 peratus, diikuti plastik sebanyak 21.9 peratus.
Angka itu bersamaan ribuan lori sampah yang bergerak setiap hari untuk mengangkut sisa yang dihasilkan masyarakat moden.
Statistik tersebut memperlihatkan bahawa budaya penggunaan masyarakat hari ini sedang menghasilkan tekanan besar terhadap sistem pengurusan sisa dan alam sekitar negara.
Sampah dan perubahan iklim
Ramai masih melihat perubahan iklim hanya berkaitan asap kilang, kenderaan atau penebangan hutan.
Namun sektor sisa pepejal juga menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau yang besar, terutama melalui penghasilan gas metana daripada tapak pelupusan sampah.
Apabila sisa makanan dan bahan organik dibuang ke tapak pelupusan, ia mereput dalam keadaan tanpa oksigen lalu menghasilkan gas metana.
Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dalam laporan Global Methane Assessment 2021, metana bertanggungjawab terhadap kira-kira satu pertiga pemanasan global semasa.
Dalam tempoh 20 tahun pertama selepas dilepaskan ke atmosfera, kesan pemanasannya boleh menjadi sekitar 80 kali lebih kuat berbanding karbon dioksida.
UNEP turut melaporkan bahawa sektor sisa menyumbang sekitar 20 peratus daripada pelepasan metana yang berpunca daripada aktiviti manusia di seluruh dunia.
Fakta ini menunjukkan bahawa isu sampah tidak lagi boleh dianggap masalah kecil atau isu teknikal semata-mata.
Di Malaysia, sisa makanan merupakan antara komponen terbesar dalam sampah domestik. Setiap hari sejumlah besar makanan dibuang oleh isi rumah, hotel, restoran dan premis perniagaan.
Dalam masyarakat yang masih berdepan isu kos sara hidup dan ketidakseimbangan akses makanan, pembaziran ini memperlihatkan paradoks budaya pengguna moden yang semakin membimbangkan.
Pada masa sama, penggunaan plastik sekali guna terus meningkat.
Plastik bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah penghasilannya bergantung kepada industri bahan api fosil yang turut menyumbang kepada perubahan iklim global.
Budaya guna buang semakin membimbangkan
Budaya guna buang berkembang selari dengan gaya hidup moden. Pasaran hari ini menjadikan manusia lebih mudah membeli barang baharu daripada membaiki apa yang masih boleh digunakan.
Dalam banyak keadaan, nilai sesuatu produk bukan lagi pada ketahanannya, tetapi pada seberapa cepat ia boleh diganti.
Fenomena ini dapat dilihat melalui peningkatan penggunaan seperti plastik sekali guna, pembungkusan makanan, fesyen segera, peralatan elektronik murah dan pembaziran makanan.
Kemudahan teknologi serta budaya kepenggunaan menyebabkan masyarakat membeli lebih banyak daripada keperluan sebenar.
Akibatnya, jumlah sampah meningkat jauh lebih cepat daripada kemampuan bandar untuk menguruskannya.
Apa yang lebih membimbangkan ialah masyarakat sering melihat sampah sebagai sesuatu yang “hilang” sebaik sahaja lori kutipan datang mengambilnya.
Sedangkan realitinya, sampah hanya dipindahkan daripada ruang rumah kepada ruang alam sekitar yang lebih besar.
Dalam jangka panjang, budaya penggunaan berlebihan ini akhirnya menghasilkan beban alam sekitar yang perlu ditanggung oleh generasi masa depan.
Bandar semakin tertekan
Bandar moden kini berhadapan cabaran pengurusan sisa yang semakin kompleks. Pertumbuhan penduduk, urbanisasi dan perubahan gaya hidup menyebabkan jumlah sisa pepejal meningkat setiap tahun.
Banyak tapak pelupusan di negara ini semakin menghampiri kapasiti maksimum. Sebahagiannya pula masih menggunakan sistem lama yang berisiko terhadap pencemaran air, udara dan tanah.
Selain itu, pencemaran daripada sisa pepejal turut memberi kesan kepada kesihatan awam. Pembakaran terbuka, pelepasan gas dan pencemaran air boleh meningkatkan risiko penyakit respiratori serta menjejaskan kualiti hidup masyarakat bandar.
Perubahan iklim pula menjadikan keadaan lebih rumit. Suhu bandar yang semakin panas, kejadian banjir kilat dan tekanan terhadap sistem infrastruktur menunjukkan bahawa isu sampah tidak lagi boleh dipisahkan daripada cabaran iklim.
Dalam banyak keadaan, longkang tersumbat akibat sampah menjadi antara faktor yang memburukkan banjir bandar ketika hujan lebat.
Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan terpaksa menanggung kos pengurusan sisa yang semakin meningkat saban tahun.
Adakah teknologi penyelesaiannya?
Perdebatan mengenai penggunaan insinerator semakin mendapat perhatian. Ada pihak melihat teknologi ini sebagai jalan keluar kepada masalah tapak pelupusan kerana ia dapat mengurangkan jumlah sampah dan menjana tenaga.
Namun insinerator bukan penyelesaian mutlak. Kos pembinaan dan penyelenggaraannya sangat tinggi. Jika tidak dikawal dengan baik, ia juga boleh menghasilkan pencemaran udara dan pelepasan karbon.
Dalam keadaan tertentu, teknologi insinerator mungkin diperlukan terutama di bandar berkepadatan tinggi dan kawasan yang mempunyai kekurangan tanah untuk tapak pelupusan.
Namun teknologi semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah jika budaya penggunaan berlebihan terus berlaku.
Hakikatnya, teknologi mampu membantu mengurus sampah, tetapi tidak mampu mengurus kerakusan budaya penggunaan manusia.
Selagi masyarakat terus menghasilkan sampah dalam jumlah besar, apa sahaja teknologi akhirnya akan berdepan had tertentu.
Sebab itu ramai pakar alam sekitar menegaskan bahawa penyelesaian sebenar perlu bermula dengan perubahan budaya dan gaya hidup masyarakat.
Membina budaya baharu
Cabaran terbesar hari ini bukan sekadar mengurus sampah, tetapi mengubah cara manusia melihat penggunaan dan kemewahan.
Masyarakat perlu bergerak daripada budaya guna buang kepada budaya penggunaan lestari.
Ini termasuklah mengurangkan pembaziran makanan, membawa bekas sendiri, menggunakan semula barangan, mengasingkan sisa dan mengutamakan kitar semula.
Menurut SWCorp, kadar kitar semula kebangsaan Malaysia meningkat kepada 37.9 peratus pada tahun 2024 berbanding sekitar 24.6 peratus pada tahun 2015.
Walaupun perkembangan ini menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat, sebahagian besar sisa negara masih berakhir di tapak pelupusan.
Pada masa sama, kerajaan dan industri juga perlu memainkan peranan lebih besar. Dasar pengurangan plastik, pengasingan sisa di punca, ekonomi sirkular dan pendidikan alam sekitar perlu diperkukuh secara berterusan.
Sekolah dan universiti pula mempunyai tanggungjawab penting membentuk kesedaran generasi muda supaya melihat alam sekitar bukan sekadar isu teknikal, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan moral manusia terhadap bumi.
Masa depan yang sedang dibentuk hari ini
Krisis sisa pepejal sebenarnya mencerminkan cara manusia moden memahami pembangunan dan kemajuan.
Selama bertahun-tahun, kemajuan sering diukur melalui peningkatan penggunaan dan pertumbuhan ekonomi semata-mata.
Namun dunia hari ini mula membayar harga yang mahal terhadap pendekatan tersebut.
Perubahan iklim mengingatkan manusia bahawa bumi mempunyai had tertentu.
Apa yang dibuang hari ini akhirnya akan kembali mempengaruhi kehidupan manusia sendiri, sama ada melalui pencemaran, suhu yang semakin panas atau bencana alam yang lebih kerap berlaku.
Akhirnya, persoalan sebenar bukan sekadar bagaimana mahu membuang sampah, tetapi bagaimana mahu mengurangkan budaya menghasilkan sampah sejak awal.
Jika budaya guna buang terus dianggap simbol kemodenan, generasi akan datang bukan sahaja mewarisi timbunan sampah, tetapi juga tamadun yang gagal memahami batas bumi.
--BERNAMA
Ts Dr Mohd Arif Rosli ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) (mohdarif@uthm.edu.my)
Fairus Muhamad Darus ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Pertubuhan Forum Udara Bersih Malaysia (MyCAS) (fairusmd@uitm.edu.my).