TINTA MINDA

Terima Kasih Cikgu, Doa Tulus Buat Insan Bergelar Cikgu

18/05/2026 09:42 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Siti Zaimaliza Masturi

Ucapan selamat ‘hari-hari selamat’ cikgu bukanlah hanya ungkapan biasa, ianya boleh menjadi satu doa.

Doa yang menjadi rutin adalah zikir kasih sayang daripada seorang murid kepada gurunya.

Doa yang tulus mampu mencipta keajaiban yang menakjubkan.

Keajaiban berlaku apabila gelombang syukur dan pengharapan ini bertemu dengan reda seorang guru.

Gelombang ini mampu membuka pintu-pintu langit sehingga setiap selamat yang diucap bukan sekadar harapan duniawi, tetapi menjadi perisai rohani dan pembuka jalan bagi keberkatan ilmu yang mengalir tanpa henti.

Doa: Mekanisme transmisi gelombang

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana doa seorang murid itu mampu sampai kepada gurunya.

Doa mempunyai mekanisme transmisi gelombang untuk sampai kepada guru. Mekanisme ini dapat difahami dari sudut pandang spiritual.

Pandangan ini menerangkan yang doa diyakini mampu menembus dimensi fizik dan menuju ke dimensi langit. I

anya umpama cahaya yang mampu melampaui batas ruang dan waktu.

Dalam kerangka inilah, doa seorang murid itu dilihat bukan sekadar luahan hati, tetapi suatu getaran kasih dan penghormatan yang menghubungkan jiwa dengan jiwa.

Walaupun guru dan murid terpisah oleh jarak, doa tetap menemui destinasinya.

Doa dari sudut pandang metafizik atau kuantum pula, adalah teori mengenai non-locality, yang mana kesedaran manusia mampu mempengaruhi realiti logik akal.

Doa menjadi gelombang yang menembusi medan kuantum, mencari frekuensi yang selaras dengan apa yang dihajati.

Pengiktirafan daripada murid kepada guru

Dalam makna ini, setiap doa bukan sekadar ungkapan lisan, tetapi suatu tenaga yang dihantar dengan penuh keyakinan dan keikhlasan.

Apabila frekuensi hati selari dengan niat yang tulus, doa dipercayai lebih mudah menemukan jalan untuk sampai kepada sasaran, sama ada dalam bentuk ketenangan, ilham, atau perubahan yang diharapkan.

Melihat kepada sudut pandangan diatas, doa seharusnya menjadi rutin yang wajar diterapkan pada diri setiap murid.

Mendoakan guru bukan sekadar adat atau tradisi kerana guru adalah insan yang bukan sahaja mencurahkan ilmu, tetapi juga mempunyai banyak manfaatnya.

Marilah kita telusuri manfaat-manfaat mendoakan guru.

Doa adalah satu bentuk pengiktirafan yang ikhlas daripada seorang murid kepada gurunya.

Pengiktirafan seharusnya diberikan kepada guru kerana mereka bukan sekadar penyampai ilmu tetapi pemangkin perubahan hidup seorang murid.

Guru mampu mengubah perwatakan, menyalakan semangat dan membuka peluang-peluang yang hebat kepada muridnya.

Guru menjadi api yang menerangi kegelapan hidup saat murid tercari-cari dalam kegelapan dan terus memimpin tangan mereka sehingga bertemu cahaya.

Guru juga menjadi tongkat kepada murid yang tidak mampu berdiri dan terus bersama mereka sehingga boleh berlari.

Oleh itu, mereka berhak diberikan satu pengiktirafan atas ketulusan hati mereka merubah hidup seorang murid.

Doa adalah satu bentuk permohonan keberkatan atas ilmu yang telah disampaikan oleh guru.

Ilmu bukan sekadar maklumat biasa tetapi ianya cahaya yang menerangi hidup seorang murid.

Cahaya yang hanya akan terpancar dengan kehadiran keberkatan. Keberkatan ilmu pula sangat bergantung kepada keredaan guru terhadap muridnya.

Hati yang reda akan mengalirkan ilmu dengan penuh kasih sayang, sekali gus memudahkan murid untuk memahami, menghafal dan mengamalkan apa yang telah dipelajari.

Tanpa berkat, ilmu akan hanya menjadi halwa telinga yang tiada manfaat.

Doa adalah satu bentuk ikatan emosi dan motivasi sepanjang pengembaraan mencari ilmu.

Doa merupakan kata-kata yang mampu melahirkan rasa syukur kepada guru mereka.

Menzahirkan kesyukuran menerusi doa bukan sekadar adat, malah satu tuntutan jiwa bagi menghargai segala pengorbanan dan titisan keringat guru untuk murid-muridnya.

Melalui titipan doa yang tulus, seorang murid sebenarnya sedang membina jambatan kasih yang melangkaui ruang bilik darjah.

Setiap kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil benih sabar yang disemai oleh insan bergelar pendidik.

Doa itu ikatan psikologi

Doa adalah satu bentuk bayaran balik. Sejujurnya, apakah jawapan seorang murid kepada persoalan sejauh mana mereka mampu membayar setiap titis keringat guru dengan wang ringgit.

Jawapannya, mereka tidak mampu dan tiada nilai yang boleh membayarnya kerana ianya terlalu berharga.

Tetapi, doa mampu menggantikannya. Doa tidak memerlukan kos, namun ia mampu sampai terus ke Arasy.

Apabila kita menyebut nama guru dalam doa rahsia kita, itulah bayaran yang dituntut dari seorang murid untuk gurunya.

Doa adalah satu bentuk pengukuhan ikatan psikologi. Secara psikologinya, tindakan mendoakan seseorang dapat mengurangkan konflik dan meningkatkan kasih sayang.

Dalam ekosistem bilik darjah, doa yang dipanjatkan oleh murid kepada guru mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih positif.

Apabila seorang guru menyedari atau merasakan kasih sayang daripada pelajarnya, motivasi intrinsik untuk mengajar dengan lebih berkesan akan meningkat.

Peneguh ikatan spiritual

Doa adalah satu bentuk peneguhan ikatan spiritual. Dari sudut pandang spiritual pula, doa dianggap sebagai jambatan yang menghubungkan hati.

Ikatan ini sangat penting bagi memastikan proses pemindahan nilai (tarbiyah) berlaku secara efektif, di mana pelajar tidak hanya melihat guru sebagai penyampai maklumat, tetapi sebagai mentor kehidupan.

Doa adalah satu bentuk bantuan kepada guru untuk menghadapi cabaran mental seperti burnout dan stress yang datang dari beban kerja mereka.

Menurut Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, beban kerja guru meliputi pengajaran, pentadbiran, penilaian berasaskan sekolah (SBA) dan tanggungjawab luar kelas, yang boleh membawa kepada burnout dan stres kronik.

Di sinilah doa dari seorang murid muncul sebagai bentuk bantuan unik yang bukan sekadar kata-kata, tetapi sumber kekuatan rohani yang boleh mengurangkan beban mental guru.

Doa adalah satu cerminan adab dan rasa hormat murid kepada gurunya.

Murid yang berdoa untuk gurunya sebenarnya sedang mengakui bahawa guru bukan manusia biasa dalam hidup mereka, tetapi pembimbing yang banyak berkorban untuk mendidik dan membentuk peribadi.

Hubungan yang diasaskan pada penghargaan ini membantu mewujudkan suasana kelas yang lebih harmoni, kerana guru berasa dihormati dan murid pula belajar erti tanggungjawab dalam hubungan pendidikan.

Doa adalah suatu yang berharga dan wajar diberikan kepada guru. Ini kerana, guru ialah insan mulia yang banyak berjasa dalam membentuk akhlak, ilmu dan sahsiah generasi masa depan.

Oleh itu, marilah kita jadikan doa sebagai rutin harian dalam kembara menuntut ilmu.

Dengan menghargai jasa mereka melalui ketulusan hati, kita sebenarnya sedang menyuburkan masa depan negara dengan benih-benih berkat.

Semoga setiap bait doa yang kita panjatkan menjadi perisai dan kekuatan buat semua pendidik di Malaysia untuk terus menabur bakti.

Kesimpulannya, amalan mendoakan guru bukan sekadar tradisi lisan, malah ia adalah sebuah manifestasi kasih sayang yang melangkaui dimensi fizikal.

Apabila setiap titipan doa bertemu dengan reda seorang pendidik, ia membentuk satu sinergi luar biasa yang bukan sahaja memudahkan urusan penyampaian ilmu,

malah menjadi penawar buat keletihan dan pengorbanan mereka.

Doa adalah hadiah paling mewah yang mampu diberikan oleh seorang murid kepada gurunya.

Ianya sebuah pelaburan akhirat yang tidak akan pernah susut nilainya. Maka, marilah kita mengangkat tangan dan mendoakan guru-guru kita.

-- BERNAMA

Dr Siti Zaimaliza Masturi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Bahasa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)