Isu penyelewengan dana dalam organisasi bukan kerajaan (NGO) semakin membimbangkan dan mendapat perhatian meluas masyarakat sejak kebelakangan ini.
Peningkatan laporan berkaitan salah guna dana awam bukan sahaja mencetuskan persoalan terhadap tahap integriti pengurusan NGO, malah turut menggugat keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti institusi yang selama ini berperanan membantu golongan memerlukan.
Hakikatnya, NGO merupakan antara entiti penting dalam pembangunan sosial, kebajikan dan kemanusiaan.
Kedudukannya yang dekat dengan masyarakat menjadikan organisasi ini sebagai medium utama penyaluran bantuan dan sumbangan awam kepada golongan sasar.
Namun demikian, apabila berlaku penyelewengan dana, kesannya bukan sahaja tertumpu kepada organisasi yang terlibat, bahkan turut menjejaskan reputasi NGO lain yang beroperasi secara berintegriti dan tulus.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana kegagalan segelintir pihak menjaga amanah boleh menyebabkan masyarakat menjadi semakin skeptikal untuk menyumbang.
Sekali gus menjejaskan kebajikan golongan sasar yang benar-benar memerlukan bantuan. Pengurus yang menyeleweng daripada tanggungjawab diamanahkan oleh penyumbang diibaratkan “harapkan pagar, pagar makan padi”.
Punca Penyelewengan Dana
Penyelewengan dana dalam NGO lazimnya berpunca daripada gabungan kelemahan sistem kawalan dalaman dan kegagalan individu memegang amanah dengan jujur.
Antara faktor utama yang sering dikenal pasti termasuklah kelemahan pemantauan kewangan, ketiadaan audit berkala, tiadanya pemisahan tugas yang jelas antara transaksi peribadi dengan transaksi organisasi, serta ada peluang penyalahgunaan kuasa oleh pengurus dana.
Dalam organisasi yang mempunyai kelemahan sistem kawalan dalaman, risiko manipulasi kewangan menjadi lebih tinggi kerana proses semakan dan pengesahan tidak dilaksanakan secara sistematik.
Di sinilah mekanisme semak dan imbang (check and balance) penting untuk memastikan keberkesanan pengurusan organisasi agar ia tidak membuka ruang kepada salah guna dana.
Oleh itu, organisasi perlu membangunkan sistem kawalan dalaman yang mampan agar mampu mengurangkan risiko salah guna kuasa walaupun melibatkan individu yang dipercayai.
Konsep Integriti dalam Pengurusan Kewangan
Menurut Undang-undang Kecil Institut Perakaunan Malaysia (By-Laws on Professional Conduct and Practice of Malaysian Institute of Accountants), integriti merujuk kepada sifat jujur, amanah dan telus dalam semua urusan profesional dan perniagaan.
Dalam konteks NGO, integriti bukan sekadar nilai moral individu, tetapi merupakan asas utama kepada tadbir urus organisasi.
Pengurus kewangan yang berkelayakan, kompeten dan berintegriti perlu memastikan setiap dana yang diterima direkod, diurus dan disalurkan secara telus menepati tujuan sumbangan asal.
Justeru, integriti pengurus perlu disokong oleh mekanisme kawalan audit dalaman dan luaran yang berkesan, polisi kewangan yang jelas, dokumentasi lengkap serta pelaporan yang telus dan mudah diakses oleh penyumbang dan pemegang taruh.
Kelemahan Sistem Kawalan dan Penguatkuasaan
Walaupun NGO tertakluk kepada peraturan tertentu berkaitan pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966, kelemahan pengurusan kewangan sering berlaku pada peringkat pelaksanaan dan penguatkuasaan.
Antara isu yang sering dibangkitkan termasuklah pemantauan yang tidak konsisten, kegagalan mematuhi piawaian pelaporan kewangan serta pendekatan pengurusan yang lebih bersifat reaktif berbanding proaktif.
Ironinya, penyelewengan hanya dikesan selepas organisasi mengalami kerugian besar atau setelah tular di media. Sedangkan tindakan kawalan perlu dilaksanakan di peringkat dalaman agar ia dapat dikawal dari awal.
Situasi ini menunjukkan bahawa sistem pengawasan sedia ada masih mempunyai kelompongan yang perlu diperbaiki. Kelemahan yang tidak diperbaiki membawa kepada risiko penyalahgunaan dana awam yang besar.
Tanggungjawab Pemantauan dan Tadbir Urus
Oleh itu, pemantauan terhadap pengurusan kewangan NGO memerlukan pendekatan berlapis dan tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja. Tanggungjawab ini perlu melibatkan ahli lembaga pengurusan, pihak pengurusan, juruaudit bebas serta pihak berkuasa berkaitan.
Setiap lapisan pemantauan memainkan peranan penting dalam memastikan wujudnya semak dan imbang yang berkesan.
Dalam konteks ini, budaya tadbir urus yang berintegriti perlu dibentuk secara menyeluruh dan bukan hanya bersifat pematuhan dokumen semata-mata.
Malah tadbir urus yang berintegriti ini boleh diperkasakan dengan penggubalan dasar whistleblowing (pemberi maklumat) sebagai satu sistem kawalan dalaman organisasi.
Peranan Whistleblowing dalam Membanteras Penyelewengan Dana
Whistleblowing atau pemberi maklumat boleh berperanan dalam mencegah dan mengesan penyelewengan dalaman dana NGO.
Whistleblowing merupakan satu mekanisme pelaporan yang membolehkan pekerja, sukarelawan, ahli organisasi atau pihak berkepentingan melaporkan salah laku apabila mereka mengesan ketidakpatuhan, manipulasi rekod kewangan atau penyalahgunaan dana.
Di Malaysia, perlindungan terhadap pemberi maklumat dalam pertubuhan diperuntukkan di dalam Bahagian 3 Seksyen 58 Akta Pertubuhan 1966. Malah ia juga terkandung di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 [Akta 711].
Akta ini diperkenalkan bagi menggalakkan individu tampil melaporkan perlakuan tidak wajar termasuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan tanpa takut dikenakan tindakan balas.
Membudayakan Whistleblowing dalam Organisasi
Budaya whistleblowing dalam sesetengah organisasi masih lemah akibat daripada faktor ketakutan, tekanan organisasi dan kebimbangan terhadap keselamatan kerjaya serta reputasi individu yang melaporkan salah laku.
Hakikatnya, organisasi yang menolak budaya whistleblowing secara tidak langsung mewujudkan persekitaran yang membenarkan salah laku terus berlaku tanpa kawalan.
Individu yang tidak berintegriti menjadi lebih berani menyalahguna kuasa kerana tiada laporan mahupun tindakan diambil terhadap mereka.
Lebih membimbangkan, sekiranya ahli organisasi melihat pemberi maklumat sebagai ancaman kepada reputasi organisasi.
Dalam konteks tadbir urus moden, whistleblowing tidak seharusnya dilihat sebagai usaha membuka kelemahan organisasi.
Sebaliknya budaya whistleblowing adalah satu mekanisme pelaporan salah laku secara beretika yang menunjukkan komitmen tinggi organisasi dalam melaksanakan tadbir urus organisasi yang baik.
Membudayakan whistleblowing dan pengawasan berterusan terhadap dana awam mampu membendung isu penyelewengan, salah laku dan salah guna kuasa dalam organisasi.
Justeru, pengukuhan mekanisme whistleblowing perlu dijadikan antara agenda utama reformasi tadbir urus NGO bagi memastikan pengurusan dana awam sentiasa dipantau, telus dan bebas daripada unsur penyelewengan.
Ingatlah firman Allah“ Jika kamu berbuat baik, (maka) kamu berbuat baik untuk diri sendiri; dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan itu) untuk dirimu sendiri…” (Surah Al-Isra ayat 7).
-- BERNAMA
Dr Norhanizah Johari ialah Pensyarah Perakaunan, Jabatan Perakaunan, Fakulti Ekonomi Perakaunan Dan Pengurusan, Universiti Islam Selangor (Uis).