Oleh Dr Abdul Rahman Abdul Manaf
Konvensyen Sejarah Nasional (KSN) 2026 mengangkat tema “Bersama Membina Negara Bangsa” yang mendasari semangat perpaduan rakyat Malaysia dalam kepelbagaian etnik.
Tema ini selaras dengan sambutan Minggu Perpaduan Negara (MPN) 2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara.
KSN 2026 anjuran Arkib Negara Malaysia (ANM) dan Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diadakan pada 12 hingga 13 Mei 2026 bertempat di UniMAP.
Penganjuran kali ini menonjolkan tema-tema utama diskusi ilmiah merangkumi empat aspek utama iaitu institusi beraja, gerakan nasionalisme, reformasi pentadbiran dan perundangan, serta pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Memahami sejarah Malaysia adalah kritikal untuk membentuk sebuah negara bangsa yang bertamadun tinggi.
Oleh itu, penghayatan sejarah mampu membentuk identiti nasional, memandu dasar sosioekonomi dan menangani ketidaksamaan sejarah.
Tambahan pula, naratif sejarah sangat mempengaruhi pendidikan dan pembangunan modal insan, manakala pengajaran daripada masa lalu membimbing strategi inklusif untuk pertumbuhan ekonomi.
Dengan mempelajari kejayaan dan cabaran daripada sejarah, Malaysia dapat memupuk perpaduan serta mewujudkan masa depan yang adil dan makmur.
Sejarah institusi beraja: kesinambungan dan perubahan
Slogan “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” menjadi ungkapan yang popular apabila berbicara berkenaan institusi beraja.
KSN 2026 mengangkat tema sejarah institusi beraja yang membincangkan fungsi kesultanan sebagai asas legitimasi politik, simbol perpaduan dalam negara majmuk, sumbangan golongan istana dalam menyemai kesedaran kebangsaan, serta kepentingan persempadanan negeri dalam menentukan kedaulatan wilayah.
Keseluruhannya, institusi beraja dilihat sebagai entiti dinamik yang menyesuaikan tradisi dengan tuntutan sistem moden.
Dalam konteks KSN 2026, pemilihan tema ini menegaskan bahawa institusi beraja kekal relevan sebagai tunjang identiti nasional dan kestabilan negara.
Tambahan pula, gabungan kesinambungan sejarah dan keupayaan adaptasi menjadikan institusi ini signifikan dalam memperkukuh perpaduan serta membina negara bangsa yang berdaulat dan berdaya tahan.
Pemerintahan beraja ini diterajui oleh sembilan Raja-Raja Melayu yang memayungi negeri masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong menjadi payung mahkota negara yang menaungi seluruh Persekutuan.
Gerakan nasionalisme: Asas pembinaan negara bangsa
Sidang ini membincangkan gerakan nasionalisme dalam empat aspek iaitu pendidikan, sekolah vernakular di Borneo, perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu dan peranan wartawan dalam membina negara bangsa.
Sehubungan itu, perkembangan pendidikan berfungsi sebagai pemangkin awal dalam membentuk kesedaran politik serta melahirkan golongan intelektual yang memimpin gerakan nasionalisme.
Sekolah vernakular di Borneo pula berperanan membina identiti komuniti dan menyemai semangat kebangsaan berasaskan realiti setempat.
Seterusnya, gerakan nasionalisme di Tanah Melayu memperlihatkan proses bertahap yang dipengaruhi oleh faktor politik, ekonomi dan sosial sehingga membentuk gagasan tersusun ke arah kemerdekaan.
Sementara itu, wartawan bertindak sebagai ejen strategik dalam menyebarkan idea, membentuk pandangan awam dan menggerakkan kesedaran kolektif melalui media.
Pembinaan negara bangsa memerlukan sinergi antara ilmu, kesedaran sejarah dan komunikasi yang berkesan bagi memastikan perpaduan serta kedaulatan negara terus terpelihara.
Hal ini meegaskan bahawa pendidikan dan media merupakan instrumen utama dalam memperkukuh nasionalisme dan identiti kebangsaan.
Malah, bangsa yang berilmu ialah bangsa yang mampu mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Sebaliknya, tanpa ilmu seseorang itu ibarat si buta yang berjalan dalam kegelapan.
Pentadbiran dan perundangan dalam pembinaan negara bangsa
Sesi ini menelusuri asas pentadbiran dan perundangan yang membentuk Malaysia melalui tiga fokus utama.
Pertama, penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 sebagai titik penting penyusunan semula sistem politik.
Kedua, perlembagaan sebagai tiang utama yang menjamin kestabilan, kedaulatan dan hak rakyat.
Seterusnya, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memperluas kerangka negara bangsa merentasi sempadan geografi dengan penyertaan Sabah dan Sarawak.
Keseluruhannya, pembinaan negara bangsa berteraskan struktur pentadbiran yang tersusun dan sistem perundangan yang kukuh.
Ia memperlihatkan kepentingan memahami asas sejarah perlembagaan dan perjanjian politik sebagai landasan untuk memperkukuh perpaduan serta kelangsungan negara berdaulat.
Tanpanya, kuasa akan menjadi tidak bersempadan kerana negara berdiri atas prinsip dan undang-undang.
Oleh itu, tertegaknya Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara bukan sekadar dokumen, tetapi kontrak sosial yang menyatukan rakyat dan negara.
Pembangunan dan kesejahteraan masyarakat MADANI
Perbincangan terakhir memfokuskan kepada aspek pembangunan negara dalam konteks kesejahteraan masyarakat MADANI menerusi tiga perspektif.
Tumpuan perbincangan diberikan kepada titik perubahan negara akibat krisis ekonomi, politik dan sosial.
Kupasan topik berkisar tentang reformasi ekonomi sebagai asas pengukuhan negara bangsa dan bicara cabaran teknologi maklumat dalam pembinaan negara bangsa.
Secara tidak langsung, krisis yang berlaku di Malaysia dilihat sebagai pemangkin kepada perubahan struktur pentadbiran dan sosial, manakala reformasi ekonomi menjadi teras dalam memastikan kestabilan dan kemakmuran negara.
Pada masa sama, perkembangan teknologi maklumat dan transformasi digital membawa cabaran baharu dalam aspek kesepaduan sosial, keselamatan maklumat dan pembentukan identiti nasional.
Tuntasnya, pembangunan negara bangsa bukanlah bergantung kepada kekuatan ekonomi dan teknologi semata-mata, tetapi juga keseimbangan antara kestabilan sosial, nilai masyarakat MADANI dan keupayaan negara menangani perubahan global secara berkesan.
Gabungan elemen-elemen ini memantapkan lagi nilai ketamadunan sesebuah negara bangsa yang diacuankan mengikut identiti nasional.
Oleh itu, KSN 2026 wajar dijadikan platform percambahan minda secara ilmiah untuk menajamkan daya intelek rakyat Malaysia dalam memacu agenda ke arah matlamat kemakmuran bersama menjelang 2030.
Penganjuran KSN 2026 bukannya sekadar menzahirkan cinta kepada tanah air di atas kertas, tetapi bertujuan menjadikan Malaysia sebagai negara bangsa yang berdaulat dan bertamadun.
Malah, agenda terbesarnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai pusaka berharga untuk diwarisi oleh generasi akan datang.
Namun, paksinya terletak pada tanggungjawab besar terhadap keutuhan bangsa itu sendiri kerana apabila runtuhnya bangsa, maka runtuhlah juga sebuah negara bangsa.
Acap kali juga, kita didendangkan dengan ungkapan keramat “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.
Sesungguhnya, perjuangan membina negara bangsa tiada noktahnya selagi hayat dikandung badan.
Penganjuran KSN 2026 ini amat bermakna kerana dimasukkan dalam slot program sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis ke-83.
Majlis perasmiannya pula disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail selaku Raja Muda Perlis.
-- BERNAMA
Dr Abdul Rahman Abdul Manaf ialah Pensyarah di Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Ahli Jawatankuasa Konvensyen Sejarah Nasional 2026, dan Ahli Seumur Hidup Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia (MACE).