Prof Madya Ts Dr Eddie Tan Ti Tjih dan Prof Dr Suzana Shahar
Garam, atau natrium klorida, mengandungi unsur natrium yang penting untuk kesejahteraan fizikal manusia. Namun, pengambilan garam secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan dan meningkatkan risiko pelbagai jenis penyakit kronik.
Diperingkat global, Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2026 yang bertemakan “Bersama, kita kurangkan garam (Together we can salt it out)” akan berlangsung dari 11 hingga 17 Mei pada tahun ini.
Tujuan utama kempen selama seminggu ini adalah untuk menyeru pihak berkepentingan termasuk badan kerajaan, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan industri agar bersama-sama menyokong usaha mengurangkan pengambilan garam dalam pemakanan harian demi meningkatkan tahap kesihatan awam Malaysia.
Kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Morbiditi (NHMS) 2024 menunjukkan bahawa purata pengambilan garam harian melalui sumber makanan di peringkat global (10.8gram sehari) dan di Malaysia (7.3gram sehari) adalah melebihi saranan WHO, iaitu kurang daripada 5gram atau sama dengan 1 sudu teh garam sehari.
Kegagalan mematuhi saranan ini boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, penyakit jatung, penyakit buah pinggang kronik dan strok.
Garam: Pembunuh senyap dalam hidangan harian
WHO menganggarkan kira-kira 30 peratus golongan dewasa di seluruh dunia menghadapi masalah tekanan darah tinggi, iaitu sejenis penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membimbangkan.
Di Malaysia pula, NHMS 2023 berkaitan dengan Penyakit. Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan (HCD) melaporkan 29.2 peratus, atau hampir satu dalam tiga orang dewasa, turut menghidap tekanan darah tinggi.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan NCD ini ialah pengambilan garam secara berlebihan dan berterusan, yang sering berlaku tanpa disedari melalui makanan harian kita.
Dianggarkan sebanyak 1.9 juta kematian setiap tahun di peringkat dunia berkait rapat dengan pengambilan garam berlebihan.
Pengawalan pengambilan garam merupakan antara strategi yang paling berkesan dalam pengawalan NCD.
Dalam konteks Malaysia, antara contoh makanan harian yang tinggi kandungan garam termasuk kicap, mi segera, makanan segera dan terproses seperti burger, nugget, sosej, pes dan sos masakan, makanan dalam tin, snek ringan dan keropok lekor.
Mengurangkan pengambilan makanan ini dalam diet harian, kita dapat menurunkan pengambilan garam keseluruhan, sekali gus mengurangkan risiko penyakit dan membantu mencegah kematian pramatang akibat pengambilan garam yang berlebihan.
Peranan individu dan keluarga
Bagi mengurangkan pengambilan garam yang berlebihan, Kerajaan Malaysia telah mewajibkan pengisytiharan kandungan natrium pada label pemakanan melalui pindaan Peraturan-peraturan Makanan 1985 pada tahun 2020, yang dikuatkuasakan mulai tahun 2024.
Justeru, pengguna perlu lebih cakna terhadap label nutrisi serta memahami cara membacanya agar dapat mengawal pengambilan garam harian.
Selain itu, mengurangkan kekerapan makan di luar dan mengutamakan penyediaan makanan dan masakan rendah garam di rumah merupakan langkah yang berkesan.
Sekiranya rasa masakan makanan kurang menyerlah, penggunaan herba atau rempah ratus yang sesuai boleh dijadikan perisa alternatif untuk menambahkan kelazatan makanan, langkah alternatif ini adalah lebih sihat berbanding menambah garam.
Secara teorinya, deria rasa masin boleh dilatih terhadap penerimaan rasa kurang masin secara berperingkat.
Sebagai contoh, jika seseorang itu mula megurangkan garam atau mengambil makanan kurang masin, deria rasa akan terbiasa dengan rasa tersebut dalam tempoh dua minggu.
Ibu bapa juga perlu menjadi teladan dengan membiasakan anak-anak mengurangkan pengambilan garam sejak kecil.
Di samping itu, kempen kesedaran melalui sekolah, komuniti dan media sosial wajar diperkasakan secara berterusan.
Tanggungjawab kerajaan: Polisi dan sasaran yang tegas
Selain daripada peranan individu dan keluarga, usaha pengurangan garam turut digariskan dalam dokumen polisi Strategi Pengurangan Garam untuk Kawalan dan Pencegahan NCD bagi Malaysia 2021 - 2025.
Langkah kerajaan memperkukuh pelabelan makanan melalui pengisytiharan kandungan natrium secara mandatori yang dikuatkuasakan pada tahun 2024 merupakan satu tindakan yang tepat.
Namun, langkah seterusnya ialah menetapkan had maksimum mandatori bagi kandungan garam bagi beberapa kategori produk makanan tinggi garam sering diambil oleh rakyat.
Strategi ini telah terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar pengambilan garam di populasi di beberapa negara termasuk Afrika Selatan, Korea Selatan dan Argentina.
Kerajaan juga boleh mempertimbangkan insentif kepada industri yang mereformulasikan produk ke arah kandungan garam lebih rendah.
Sebaliknya, cukai tambahan boleh dikenakan terhadap produk yang enggan membuat penyesuaian, selari dengan pendekatan terhadap produk makanan dan minuman tinggi gula.
Label amaran bagi makanan tinggi garam juga antara strategi yang telah terbukti berkesan di luar negara.
Langkah-langkah ini penting untuk meningkatkan tahap kesihatan rakyat, mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit, dan secara langsung membantu menjimatkan kos penjagaan kesihatan negara yang sering menelan belanja yang tinggi.
Sokongan industri makanan: Reformulasi itu wajar
Dalam usaha mengurangkan pengambilan garam harian, sokongan daripada pihak industri makanan amat kritikal.
Kajian menunjukkan bahawa pengurangan garam secara berperingkat tidak menjejaskan kualiti atau tahap penerimaan pengguna.
Hal ini disebabkan oleh adaptasi deria rasa, di mana kepekaan terhadap rasa masin akan meningkat walaupun jumlah garam dikurangkan secara beransur-ansur.
Beberapa industri makanan tempatan telah membuktikan bahawa pengurangkan garam boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan rasa dan kualiti produk.
Melalui pendekatan teknologi makanan yang sesuai, formulasi baharu dapat mengekalkan cita rasa di samping memastikan keselamatan makanan.
Satu suara: Kolaborasi semua pihak untuk masa depan lebih sihat
Peranan kerajaan, industri makanan, profesional kesihatan, pakar nutrisi, pakar teknologi makanan dan pengguna adalah sama penting dalam usaha mengurangkan pengambilan garam dalam makanan harian.
Usaha ini bukan tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen seluruh ekosistem masyarakat bagi memastikan kejayaanya, yang semestinya membolehkan sistem penjagaan kesihatan negara menjadi lebih lestari.
Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil langkah kecil yang mampu mencetuskan perubahan besar ke arah kesihatan yang lebih baik, sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia 2026.
Akhir kata, selamatkan nyawa. Bersama, kita kurangkan garam.
-- BERNAMA
Ts Dr Eddie Tan Ti Tjih ialah Prof Madya Teknologi Makanan dan Ketua Alliance of Research and Innovation for Food (ARIF), Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah.
Dr Suzana Shahar ialah Prof Pemakanan dan Dietetik dari Pusat Penuaan Sihat & Kesejahteraan, Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).