PENA WANITA

Bahasa Indah Lahirkan Wanita Berjiwa Qurani

14/05/2026 10:25 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Dr Sahlawati Abu Bakar

Dalam dunia yang serba pantas hari ini, wanita memainkan pelbagai peranan sama ada sebagai ibu, isteri, anak, pendidik dan juga pemimpin dalam masyarakat.

Dalam kesibukan mengurus kehidupan, satu perkara yang sering terlepas pandang ialah bagaimana kita berbicara.

Hakikatnya, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi cerminan jiwa dan keperibadian seseorang wanita.

Hari ini, kita menyaksikan semakin banyak percakapan dilontarkan tanpa batas seperti di rumah, tempat kerja mahupun media sosial.

Kata-kata yang sepatutnya menjadi penenang, kadangkala bertukar menjadi punca luka.

Dalam institusi keluarga sendiri, bahasa yang kasar dan tidak terjaga mampu meretakkan hubungan yang sepatutnya dibina atas dasar kasih sayang.

Persoalannya, di manakah kita perlu bermula untuk membina komunikasi yang lebih baik?

Al-Quran sebenarnya telah lama memberikan panduan yang sangat halus dan menyeluruh dalam membentuk akhlak komunikasi.

Prinsip ini dikenali sebagai qaulan (bicara) iaitu enam bentuk tutur kata yang menjadi asas kepada bahasa seorang Muslim, khususnya wanita yang ingin membina jiwa Qurani.

Bicara yang benar, asas kepercayaan (Qaulan Sadida)

Wanita sering menjadi tonggak dalam membentuk suasana rumah.

Setiap kata yang keluar daripada mulut seorang ibu atau isteri mampu mempengaruhi emosi dan pemikiran ahli keluarga.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar (qaulan sadida).” (Surah al-Ahzab: 70)

Kejujuran dalam berbicara bukan sekadar menyampaikan fakta tetapi juga membina kepercayaan.

Kata-kata yang benar akan menenangkan, manakala kata yang tidak jujur hanya menambah kekeliruan dan kecurigaan.

Bahasa yang menyentuh hati (Qaulan Baligha)

Tidak semua kata yang benar mampu diterima dengan baik jika disampaikan tanpa hikmah.

Di sinilah pentingnya qaulan baligha kata yang tepat dan memberi kesan kepada jiwa.

Bahasa yang berkesan ialah bahasa yang sampai ke hati. Al-Quran mengingatkan supaya kita berkata dengan qaulan baligha iaitu perkataan yang memberi kesan mendalam kepada jiwa.

Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka itulah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka, maka berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka nasihat, serta katakanlah kepada mereka perkataan yang berkesan pada jiwa mereka (qaulan baligha).” (Surah al-Nisa’ 4:63)

Seorang wanita yang bijak berbicara tidak hanya menyampaikan mesej, tetapi memahami emosi pendengar.

Sama ada menasihati anak, berbincang dengan pasangan atau berinteraksi di tempat kerja, apabila menggunakan bahasa yang tepat ianya mampu membuka hati yang tertutup.

Bicara dalam adab dan hikmah (Qaulan Ma‘rufa)

Dalam kehidupan seorang wanita, bahasa bukan sekadar alat komunikasi tetapi cerminan kehalusan jiwa dan kematangan emosi.

Sama ada sebagai ibu, isteri, anak atau anggota masyarakat, setiap tutur kata yang diucapkan mampu membina atau meruntuhkan hubungan.

Justeru, Islam mengajar agar setiap kata lahir dengan adab dan hikmah.

Allah berfirman yang bermaksud: “…dan berkatalah kepada mereka dengan perkataan yang baik (qaulan ma‘rufa).” (Surah al-Nisa’: 5)

Bagi wanita, prinsip ini amat penting kerana mereka sering menjadi pusat emosi dalam keluarga.

Kata-kata seorang ibu mampu menenangkan anak yang gelisah, manakala tutur seorang isteri mampu meredakan ketegangan dalam rumah tangga.

Begitu juga dalam masyarakat, bahasa seorang wanita yang berhikmah mampu menjadi jambatan yang menyatukan bukan jurang yang memisahkan

Lembut Bukan Lemah (Qaulan Layyina)

Dalam kehidupan seharian, wanita sering berhadapan dengan pelbagai tekanan emosi.

Namun, kekuatan sebenar bukan terletak pada suara yang tinggi, tetapi pada kelembutan yang mampu menenangkan.

Allah berfirman kepada Nabi Musa a.s. yang bermaksud: “Kemudian, berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut (qaulan layyina), mudah-mudahan dia beringat atau takut.” (Surah Taha 20:44)

Apabila Allah memerintahkan Nabi Musa a.s. berdialog dengan Firaun, baginda diarahkan berkata dengan lembut. Jika terhadap manusia paling zalim pun perlu berlemah lembut, apatah lagi terhadap masyarakat yang sedang mencari kebenaran.

Bahasa lembut tidak bermakna lemah ia adalah kekuatan moral yang mampu melembutkan hati yang keras.

Menjaga maruah dengan kata-kata (Qaulan Karima)

Seorang wanita berjiwa Qurani memahami bahawa setiap kata yang diucapkan membawa maruah dirinya dan orang lain.

Dalam hubungan kekeluargaan, terutama dengan ibu bapa, suami dan anak-anak, bahasa yang digunakan mencerminkan tahap akhlak seseorang.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah engkau merendahkan diri kepada keduanya dengan penuh kasih sayang, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (qaulan karima).”(Surah al-Isra’ 17:23)

Ucapan yang mulia bukan sahaja menjaga perasaan orang lain, tetapi juga mendidik hati agar sentiasa merendah diri dan penuh kasih.

Bahasa yang mudah dan menenangkan (Qaulan Maysura)

Dalam dunia yang penuh tekanan ini, ramai yang mencari ketenangan dalam kata-kata.

Wanita, khususnya, sering menjadi tempat orang lain meluah perasaan.

Justeru, bahasa yang digunakan perlu mudah difahami dan menenangkan.

Al-Quran mengajar kita untuk menggunakan qaulan maysura kata yang sederhana tetapi menyenangkan. Tidak perlu kata yang panjang dan rumit, cukup dengan bahasa yang ikhlas dan penuh empati.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika engkau berpaling dari mereka (tidak dapat menunaikan bantuan), maka katakanlah kepada mereka perkataan yang mudah / menyenangkan (qaulan maysura).” (Surah al-Isra’ 17:28)

Bahasa membentuk jiwa wanita

Hakikatnya, bahasa yang indah lahir daripada hati yang bersih.

Seorang wanita yang menjaga tutur katanya sebenarnya sedang mendidik jiwanya sendiri.

Setiap kata yang baik bukan sahaja memberi kesan kepada orang lain tetapi turut membentuk ketenangan dalam dirinya.

Rasulullah SAW sendiri menjadi contoh terbaik dalam berkomunikasi.

Baginda tidak meninggikan suara, tidak menyakiti dengan kata-kata, dan sentiasa memilih bahasa yang menenangkan.

Inilah teladan yang perlu dihidupkan kembali dalam kehidupan wanita hari ini.

Dalam dunia yang semakin bising dengan pelbagai suara dan pandangan, wanita berjiwa Qurani memilih untuk berbicara dengan hikmah.

Mereka tidak berlumba untuk bersuara paling kuat, tetapi berusaha menjadi suara yang paling menenangkan.

Akhirnya, bahasa bukan sekadar bunyi yang keluar dari bibir tetapi cerminan hati dan iman.

Apabila seorang wanita membiasakan dirinya dengan kata-kata yang benar, lembut dan penuh hormat, maka lahirlah keperibadian yang tenang dan dihormati.

Sesungguhnya, wanita yang menjaga bahasanya bukan sahaja membina hubungan yang harmoni tetapi juga melahirkan generasi yang berakhlak.

Dan dari situlah bermula lahirnya insan dan masyarakat yang benar-benar berjiwa Qurani.

-- BERNAMA

Dr Sahlawati Abu Bakar ialah Pensyarah di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)