Setiap kali keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan, ibu bapa, penjaga dan calon peperiksaan akan berada dalam suasana penuh debaran.
Media arus perdana juga tidak terkecuali.
Biasanya pada hari tersebut, para editor dan wartawan sudah bersedia untuk membuat liputan di sekolah-sekoah terpilih dengan senarai soalan yang sama setiap tahun.
Tujuan liputan hanya untuk memaparkan kejayaan sekolah dan murid-murid yang menerima keputusan cemerlang dengan deretan ‘A’, lengkap dengan gambar wajah ceria dan kata-kata inspirasi.
Di media sosial pula, ibu bapa sudah bersedia untuk berkongsi pencapaian anak-anak mereka sebagai tanda bangga dan syukur.
Tidak salah untuk melakukan semua itu.
Kejayaan anak-anak merupakan sesuatu yang positif dan wajar diraikan sebagai tanda sokongan dan galakan agar mereka akan terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.
Namun, dalam keghairahan meraikan kecemerlangan, pernahkah kita berfikir sejenak mengenai nasib dan perasaan mereka yang tidak memperoleh keputusan seperti yang diharapkan?
Tidak Perlu Bermegah, Jaga Perasaan Orang Lain
Di sebalik sorotan kisah kejayaan, terdapat juga ribuan pelajar lain yang berdepan dengan kekecewaan kerana menerima keputusan yang mengecewakan.
Ada yang menatap slip keputusan dengan hati yang hancur apabila segala usaha mereka selama ini tidak membuahkan hasil.
Lebih mendukacitakan lagi, ada yang gagal dalam beberapa subjek penting, sekali gus menimbulkan rasa bimbang terhadap masa depan yang dirasakan semakin kabur.
Tekanan dari persekitaran juga sering kali mengganggu perasaan.
Masyarakat kita cenderung menjadikan keputusan peperiksaan sebagai ukuran utama kecerdasan dan potensi seseorang.
Pelajar yang cemerlang dipuji dan diangkat sebagai contoh atau suri teladan, manakala mereka yang kurang berjaya sering dipandang sepi, atau lebih teruk lagi, dipandang rendah dan disisihkan.
Membandingkan anak dengan anak jiran, adik-beradik atau rakan sekerja menjadi budaya yang tidak sihat.
Bercerita mengenai kejayaan anak sebagai pembuka bicara memburukkan lagi keadaan.
Apabila deretan ‘A’ menjadi ukuran kejayaan, maka terhapuslah nilai kemanusiaan dalam diri seorang manusia.
Bagi pelajar yang tidak mencapai keputusan cemerlang, situasi ini boleh memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan keyakinan diri mereka.
Mereka mungkin berasa malu untuk berhadapan dengan keluarga, jiran dan rakan-rakan.
Ada yang memilih untuk menyendiri.
Tidak kurang juga menjauhkan diri daripada interaksi sosial kerana bimbang dihakimi.
Kegagalan ini juga boleh mengakibatkan tekanan mental dan kebimbangan melampau sehingga hilang kepercayaan terhadap diri sendiri.
Yang lebih membimbangkan, ada yang mula hilang arah tujuan hidup.
Ubah Perspektif
Hakikatnya, tidak semua pelajar berada pada situasi yang sama.
Ada yang berdepan dengan kesempitan hidup, masalah keluarga, kesihatan mental atau kekurangan akses kepada sumber pembelajaran.
Dalam keadaan sedemikian, usaha yang mereka curahkan mungkin jauh lebih sukar berbanding mereka yang berada dalam persekitaran yang lebih selesa.
Justeru, sudah pasti tidak adil jika penilaian hanya tertumpu pada deretan ‘A’ semata-mata.
Kisah-kisah perjuangan kental ini jarang mendapat liputan dalam media arus perdana.
Hal ini kerana masyarakat tidak berminat membaca kisah suka duka pelajar yang bangkit daripada kegagalan, yang terus berusaha walaupun berulang kali gagal.
Tajuk utama akhbar hanya tentang kejayaan cemerlang dan deretan ‘A’.
Tiada langsung cerita tentang ketabahan pelajar yang gagal kerana kekangan ekonomi dan mereka yang kurang menerima perhatian.
Tiada temu bual khas yang mengangkat kisah mereka sebagai inspirasi.
Sedangkan dalam kehidupan sebenar, kegagalan sering kali membuka jalan baharu kepada kepada kejayaan yang lebih besar.
Masyarakat perlu mengubah perspektif dalam membuat penilaian tentang kejayaan.
Kecemerlangan akademik memang penting, tetapi ia bukan satu-satunya ukuran kejayaan.
Dunia pekerjaan hari ini menawarkan pelbagai pilihan laluan seperti pendidikan teknikal dan vokasional, kemahiran keusahawanan serta pelbagai bidang kreatif yang melangkaui pencapaian akademik semata-mata.
Kegagalan dalam peperiksaan bukanlah pengakhiran, sebaliknya satu permulaan perjalanan yang membuka peluang baharu.
Peranan ibu bapa juga amat penting dalam situasi ini.
Sokongan dan penerimaan tanpa syarat daripada keluarga mampu menjadi benteng utama bagi pelajar yang sedang berdepan dengan kekecewaan.
Ibu bapa seharusnya menjadi pendengar yang baik, memahami emosi anak dan membantu mereka merancang langkah seterusnya.
Berilah mereka kata-kata semangat agar mereka dapat memulakan langkah baharu.
Pihak sekolah dan media juga memainkan peranan dalam membentuk naratif yang lebih seimbang dan adil.
Selain membuat liputan tentang kejayaan, kisah ketabahan dan kebangkitan daripada kegagalan juga wajar dipaparkan.
Masyarakat pula harus belajar untuk menjadi lebih memahami. Setiap individu mempunyai cerita dan cabaran tersendiri.
Dalam kegembiraan meraikan kejayaan, janganlah kita lupa untuk menghulurkan sokongan kepada mereka yang sedang berduka.
Kadangkala, satu kata-kata semangat atau nasihat yang ikhlas sudah cukup untuk memujuk jiwa yang luka dan memberi sinar harapan.
Keputusan SPM hanyalah satu daripada banyak episod dalam perjalanan hidup seseorang.
Ia bukan penentu mutlak masa depan, apatah lagi ukuran sebenar nilai diri.
Binalah budaya yang lebih inklusif dan seimbang.
Jangan hanya meraikan kejayaan semata-mata, tetapi hargailah setiap usaha, fahamilah kegagalan dan berilah ruang untuk setiap individu bangkit semula.
Perjalanan kehidupan tidak bermula pada garis yang sama.
Hujung perjalanan pula sering kali berakhir pada destinasi yang berbeza.
Yang penting bukan titik mula, tetapi bagaimana seseorang memilih untuk meneruskan langkahnya sehingga ke titik akhir.
Dalam kehidupan, bukan semua orang akan memperoleh deretan ‘A’, namun setiap usaha pasti ada imbuhannya.
-- BERNAMA
Mohamad Letfee Ahmad ialah Perunding Pemasaran dan Komunikasi Strategik, Enforcement, Leadership and Management University (ELMU). Beliau juga mantan Pengurus Program BERNAMA TV.