TINTA MINDA

Fakta Sebenar Menolak Persepsi IPT Lubuk Rasuah

09/04/2026 10:52 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Abdul Rahman Abdul Latip

Artikel bertajuk "IPT jadi lubuk rasuah" yang disiarkan baru-baru ini telah menimbulkan kegelisahan dalam kalangan warga akademik negara.

Walaupun penulis akui tidak ada sistem yang sempurna dan beberapa kes rasuah dalam kalangan warga IPT sememangnya pernah dilaporkan, namun melabel keseluruhan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) sebagai "lubuk rasuah" adalah satu generalisasi yang keterlaluan, tidak bertanggungjawab, dan jelas mengelirukan masyarakat.

Persepsi negatif sebegini bukan sahaja mematahkan semangat lebih 40,000 pensyarah yang berkhidmat dengan amanah, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing, ibu bapa, dan bakal pelajar terhadap kualiti dan integriti sistem pendidikan tinggi negara.

Justeru, adalah penting untuk kita membentangkan fakta sebenar bagi mengimbangi naratif yang berat sebelah.

Tatakelola Geran Penyelidikan: Antara Realiti dan Persepsi

Dakwaan bahawa geran penyelidikan disalah guna secara meluas adalah satu tanggapan yang lapuk dan tidak berasaskan data semasa.

Hakikatnya, universiti di Malaysia telah lama memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman melalui Pejabat Pengurusan Penyelidikan atau Research Management Office (RMO) di setiap IPT.

Pejabat ini bertindak sebagai badan pemantau yang bebas, bertanggungjawab mengawal aliran dana dari peringkat permohonan sehinggalah ke peringkat pelaporan akhir.

Setiap transaksi berkaitan geran penyelidikan, sekecil mana sekalipun, wajib melalui proses semakan beberapa peringkat.

RMO bekerja secara kolaboratif dengan Jabatan Bendahari dan Unit Audit Dalaman bagi memastikan setiap pembelanjaan mematuhi terma geran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), serta agensi pembiaya utama seperti FRGS, PRGS, dan LRGS.

Malah, laporan audit tahunan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara secara konsisten menunjukkan bahawa kadar ketidakpatuhan dalam pengurusan geran adalah di bawah satu peratus daripada jumlah keseluruhan projek penyelidikan yang dijalankan setiap tahun.

Ini membuktikan bahawa sistem semak dan imbang di IPT berfungsi dengan cekap, bukannya berada dalam keadaan kucar-kacir.


File photo

Prosedur Akademik Tidak Serah Kuasa Mutlak di Tangan Pensyarah

Lebih membimbangkan, artikel tersebut turut melontarkan dakwaan bahawa pensyarah boleh menaikkan markah sesuka hati.

Sebagai seorang yang berada dalam sistem ini, saya menegaskan bahawa tanggapan ini bukan sahaja mengarut, malah menghina profesionalisme warga akademik.

Sistem penilaian akademik di Malaysia adalah antara yang paling ketat di rantau Asia Tenggara. Prosesnya berlapis-lapis.

Pertama, soalan peperiksaan akhir wajib melalui proses semakan oleh panel sekurang-kurangnya dua orang pensyarah bidang selain daripada pensyarah asal subjek.

Kedua, skema jawapan perlu diluluskan dalam mesyuarat kursus.

Ketiga, proses pemarkahan awal dibuat mengikut skema, namun markah setiap pelajar akan melalui proses moderasi di peringkat jabatan.

Keempat, jika terdapat percubaan untuk menaikkan gred secara tidak munasabah, isu tersebut akan dibangkitkan dalam Jawatankuasa Peperiksaan Jabatan dan Fakulti.

Keputusan akhir hanya sah setelah mendapat konsensus majoriti. Tiada seorang pensyarah pun, termasuk profesor, memiliki kuasa mutlak untuk mengubah markah sesuka hati tanpa melalui saluran ini.

Realiti Statistik Tidak Membenarkan Label Besar

Benar, beberapa kes rasuah dalam IPT telah dilaporkan. Namun, marilah kita melihat angka statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara rasional.

Data menunjukkan bahawa kes membabitkan warga IPT hanyalah kurang daripada 0.05 peratus daripada jumlah keseluruhan 40,000 pensyarah di negara ini. Ini bermakna, lebih 99.95% warga akademik berkhidmat dengan jujur.

Menggunakan logik yang sama seperti artikel tersebut, tidak wajar kita melabel semua peguam sebagai “peguam kotor" kerana wujud segelintir peguam yang terlibat dalam penipuan amanah, atau melabel semua wartawan sebagai tidak berintegriti hanya kerana terdapat beberapa kes berita palsu.

Analogi mudah ini menunjukkan betapa tidak adilnya label "lubuk rasuah" itu dilemparkan.

Artikel tersebut turut memetik kes siasatan SPRM terhadap sebuah IPTA di Lembah Klang berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.

Perlu difahami dengan jelas bahawa siasatan adalah proses biasa dalam mana-mana institusi yang bertanggungjawab.

Fakta bahawa IPTA tersebut memberi kerjasama penuh dengan SPRM dan sedang melaksanakan penambahbaikan tatakelola sebenarnya membuktikan bahawa sistem semak dan imbang di negara kita berfungsi dengan baik.

Ia adalah bukti ketelusan, bukannya universiti melindungi salah laku. Jika IPT benar-benar "lubuk rasuah", tentu tidak akan ada usaha kolaboratif seperti ini.

Perbaiki, Jangan Dibakar

Pendidikan integriti di IPT sememangnya perlu diperkasa secara berterusan. Kami di dalam kampus tidak pernah menidakkan bahawa masih ada ruang untuk penambahbaikan. Sebarang salah laku, jika terbukti, mesti dikenakan tindakan tegas termasuk pemecatan dan pendakwaan.

Namun, melabel keseluruhan IPT sebagai "lubuk rasuah" adalah naratif yang merosakkan dan tidak bertanggungjawab.

Ia umpama membakar seluruh perpustakaan hanya kerana terdapat beberapa helaian buku yang koyak.

Kami memohon agar media lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan fakta.

Jangan kerana ingin mengejar jumlah pembaca, kebenaran dan nasib ribuan warga akademik yang berkhidmat dengan amanah setiap hari terpaksa dikorbankan.

Tegurlah kami dengan cara yang membina, kerana itu adalah jalan menuju kemajuan, bukannya dengan label yang menghancurkan.

--BERNAMA

Dr Abdul Rahman Abdul Latip ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)