Ramadan merupakan madrasah ruhani tahunan yang dianugerahkan Allah SWT kepada umat Islam bagi membentuk insan bertakwa, berdisiplin dan berakhlak tinggi.
Namun realiti yang sering berlaku ialah penghayatan Ramadan hanya memuncak pada awal bulan, lalu semakin pudar apabila hari-hari berlalu, dan akhirnya berakhir bersama terbenamnya matahari 1 Syawal.
Fenomena ini menimbulkan persoalan besar adalah bagaimana memastikan penghayatan Ramadan benar-benar teguh dan istiqamah, bukan bersifat bermusim dan ritual semata-mata?
Penghayatan Ramadan yang sebenar bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi satu proses pembinaan jiwa yang menyeluruh merangkumi dimensi spiritual, intelektual, sosial dan digital.
Ramadan seharusnya meninggalkan kesan berpanjangan dalam kehidupan Muslim, bukan hanya kenangan ibadah yang berlalu.
Ramadan dan Matlamat Taqwa
Allah SWT dengan jelas menyatakan tujuan utama pensyariatan puasa yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”(Surah al-Baqarah: 183)
Ayat ini meletakkan taqwa sebagai objektif tertinggi Ramadan.
Taqwa bukan sekadar kesalehan peribadi di ruang ibadah, tetapi kesedaran berterusan bahawa Allah memerhati setiap gerak-geri manusia di alam nyata mahupun alam maya.
Justeru, penghayatan Ramadan yang teguh mesti diukur sejauh mana ia melahirkan kawalan diri, kejujuran, amanah dan keadilan, bukan hanya peningkatan ibadah kuantitatif.
Di sinilah kegagalan sebahagian umat Islam bagaimana Ramadan dilihat sebagai musim ibadah tambahan, bukan latihan intensif untuk kehidupan sepanjang tahun.
Memahami Konsep Istiqamah dalam Islam
Istiqamah bermaksud keteguhan dan konsistensi dalam ketaatan kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW apabila ditanya tentang amalan yang paling dicintai Allah, Baginda menjawab maksudnya“Amalan yang paling dicintai Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menegaskan bahawa nilai istiqamah lebih utama daripada lonjakan ibadah yang bersifat sementara.
Ramadan seharusnya menjadi titik mula kepada kesinambungan amal, bukan penamatnya.
Solat malam, tilawah al-Quran, sedekah, zikir dan penjagaan lidah yang dilatih sepanjang Ramadan sepatutnya diteruskan selepasnya, meskipun dalam kadar yang lebih sederhana.
Penyakit Ritualisme Ramadan
Antara cabaran terbesar dalam memastikan penghayatan Ramadan kekal istiqamah ialah ritualisme agama iaitu menjadikan ibadah sebagai rutin kosong tanpa roh dan kesedaran makna.
Berpuasa tetapi masih:
Rasulullah SAW memberi peringatan keras maksudnya “Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
Hadis ini membuktikan bahawa puasa boleh kehilangan nilai spiritualnya jika tidak disertai penghayatan akhlak dan kawalan nafsu.
Justeru, memastikan Ramadan teguh memerlukan pembersihan niat dan pembetulan kefahaman tentang hakikat ibadah.
Ramadan Latihan Kawalan Nafsu
Puasa merupakan ibadah yang unik kerana ia mendidik manusia mengawal perkara yang halal demi ketaatan kepada Allah.
Jika perkara halal pun mampu ditinggalkan kerana perintah Allah, maka meninggalkan perkara haram sepatutnya lebih mudah.
Inilah falsafah besar Ramadan: melatih jiwa untuk taat walaupun tanpa pengawasan manusia.
Puasa membina integriti dalaman (inner integrity), suatu nilai yang amat penting dalam dunia moden yang sarat dengan godaan material, kuasa dan pengaruh digital.
Penghayatan Ramadan yang istiqamah akan melahirkan individu yang:
Dimensi Sosial Ramadan
Ramadan bukan ibadah individualistik. Ia mendidik umat Islam tentang empati, solidariti dan keprihatinan sosial.
Rasa lapar yang dialami orang berpuasa sepatutnya menyedarkan mereka tentang penderitaan golongan miskin, tertindas dan terpinggir.
Amalan sedekah, zakat fitrah dan iftar jama‘i bukan sekadar ritual tahunan, tetapi latihan membina masyarakat penyayang dan bertanggungjawab.
Ramadan yang benar-benar dihayati akan mendorong umat Islam untuk terus peka terhadap isu keadilan sosial, kemiskinan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat walaupun selepas Ramadan.
Ramadan dalam Dunia Digital
Cabaran penghayatan Ramadan hari ini semakin kompleks dengan kewujudan media sosial dan dunia digital.
Puasa bukan sahaja perlu dijaga daripada perkara fizikal, tetapi juga daripada dosa jari, mata dan lidah digital.
Semua ini boleh merosakkan roh Ramadan. Taqwa digital perlu dibina agar Ramadan benar-benar membentuk kesolehan peribadi dan sosial.
Penghayatan Ramadan yang teguh menuntut disiplin dalam penggunaan teknologi, selari dengan nilai ihsan dan amanah.
Peranan Ilmu dan Tadabbur
Antara rahsia istiqamah selepas Ramadan ialah pengukuhan ilmu dan kefahaman. Ibadah yang dilakukan tanpa ilmu mudah menjadi beban dan akhirnya ditinggalkan.
Ramadan seharusnya dimanfaatkan sebagai bulan tadabbur al-Quran dan pengukuhan kefahaman agama.
Para ulama seperti Imam al-Ghazali menegaskan bahawa ilmu dan amal mesti berjalan seiring.
Tanpa ilmu, amal menjadi sia-sia; tanpa amal, ilmu menjadi hujah ke atas diri sendiri.
Istiqamah Pasca-Ramadan: Ujian Sebenar
Hakikatnya, kejayaan Ramadan diukur selepas ia berlalu, bukan ketika ia berlangsung.
Jika solat masih terjaga, akhlak masih terkawal, al-Quran masih dibaca dan dosa masih dijauhi, maka itulah tanda Ramadan diterima dan berkesan.
Para salafussoleh berdoa agar amalan Ramadan diterima dan mereka diberi kekuatan untuk istiqamah selepasnya.
Mereka bimbang bukan kerana Ramadan berakhir, tetapi kerana takut ibadah turut berakhir bersama Ramadan.
Memastikan penghayatan Ramadan teguh dan istiqamah menuntut perubahan paradigma daripada melihat Ramadan sebagai musim ibadah sementara kepada menjadikannya asas pembinaan kehidupan berteraskan taqwa.
Ramadan adalah titik mula, bukan noktah. Penghayatan Ramadan yang sebenar akan melahirkan insan yang:
Jika Ramadan benar-benar dihayati, maka kehidupan selepasnya akan menjadi lebih terarah, bermakna dan diberkati.
Itulah hakikat kejayaan Ramadan apabila ruhnya terus hidup dalam diri, walaupun bulannya telah pergi.
-- BERNAMA
Hasri Harun ialah Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel), dan Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).