PENA WANITA

Mungkinkah Dunia Yang Terlalu Pantas Berubah Untuk Gen Z?

18/11/2025 05:17 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Syarifah Maisarah Syed Alwi

Oleh Syarifah Maisarah Syed Alwi

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita sering mendengar rungutan tentang generasi muda, khususnya Gen Z yang dikatakan sukar menyesuaikan diri sama ada di tempat kerja, universiti mahupun komuniti.

Ada yang melabel mereka sebagai generasi manja, cepat putus asa dan kurang daya tahan.

Namun, sebelum kita terus menghakimi, elok juga kita bertanya: adakah mereka benar-benar tidak mampu menyesuaikan diri, atau dunia kini yang berubah terlalu pantas sehingga sukar ditangani oleh sesiapa pun?

Gen Z membesar dalam persekitaran yang sangat berbeza daripada generasi sebelumnya.

Mereka lahir dalam dunia serba digital di mana peranti pintar, internet dan media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian sejak kecil.

Mereka belajar, bersosial dan berhibur melalui skrin. Interaksi fizikal yang dulunya menjadi latihan semula jadi bagi kemahiran sosial kini semakin terhad.

Maka, tidak hairanlah jika mereka kelihatan janggal apabila perlu berinteraksi secara bersemuka, terutama dalam suasana formal seperti di tempat kerja.

Zaman kanak-kanak yang dahulu penuh dengan aktiviti luar dan permainan berkumpulan kini digantikan dengan dunia yang lebih terkawal dan bersifat maya.

Kanak-kanak dahulu belajar tentang empati, sabar dan kompromi melalui pengalaman sosial sebenar.

Sebaliknya, ramai dalam kalangan Gen Z membesar dalam ruang yang selamat tetapi terasing.

Akibatnya, kemahiran sosial seperti memahami emosi orang lain, menyesuaikan diri dalam kumpulan atau berkomunikasi dengan yakin tidak terbentuk secara semula jadi.

Gaya Keibubapaan

Selain pengaruh dunia digital, gaya keibubapaan masa kini turut memberi kesan besar.

Ramai ibu bapa hari ini mengamalkan pendekatan terlalu melindungi atau overprotective.

Tujuannya baik iaitu mahu memastikan anak selamat dan berjaya.

Namun tanpa disedari, anak-anak tidak diberi peluang untuk belajar daripada kegagalan kecil atau membuat keputusan sendiri.

Apabila semua urusan diatur oleh ibu bapa, anak hilang keupayaan untuk berdikari dan menyesuaikan diri apabila berhadapan dengan cabaran sebenar.

Kesan daripada cara didikan sebegini jelas kelihatan apabila mereka meningkat dewasa.

Ramai yang cemerlang dalam akademik, tetapi kurang yakin apabila berdepan tekanan sosial dan tuntutan kerja.

Mereka mudah cemas, tidak pasti dengan kemampuan diri dan cenderung mengelak situasi yang tidak selesa.

Ini bukan tanda kelemahan, tetapi petunjuk bahawa mereka tidak mendapat ruang mencukupi untuk membina ketahanan sosial dan emosi sewaktu membesar.

Tambahan pula, pengalaman pandemik COVID-19 turut membentuk corak sosial generasi ini.

Dalam tempoh penting perkembangan sosial khususnya di peringkat remaja dan awal dewasa, mereka terpaksa hidup dalam dunia terasing.

Sekolah, universiti dan aktiviti sosial berlangsung secara dalam talian. Hubungan manusia dibina melalui skrin, bukan sentuhan atau tatapan mata.

Apabila dunia kembali normal, ramai yang berasa canggung dan tidak pasti bagaimana untuk menyesuaikan diri semula dalam interaksi sebenar.

Memahami Generasi Muda

Namun begitu, tidak adil jika kita hanya melihat Gen Z daripada sisi kelemahan.

Sebenarnya, mereka juga membawa banyak kelebihan. Mereka lebih terbuka terhadap kepelbagaian, peka terhadap isu sosial, dan berani menyuarakan pandangan.

Mereka cepat menyesuaikan diri dengan teknologi dan mempunyai daya kreativiti tinggi. Apa yang mereka perlukan hanyalah bimbingan untuk mengimbangi antara kecekapan digital dan kematangan sosial.

Dalam konteks kerja dan pendidikan, pendekatan lama mungkin tidak lagi sesuai.

Majikan dan pendidik perlu memahami bahawa generasi ini menghargai komunikasi terbuka, maklum balas segera dan ruang untuk menyuarakan pendapat.

Mereka bukan menolak disiplin, tetapi mencari hubungan yang lebih autentik dan saling menghormati.

Apabila pendekatan pengurusan dan pembelajaran lebih empatik, mereka mampu menunjukkan potensi sebenar.

Kita juga perlu mengiktiraf bahawa dunia yang mereka hadapi kini jauh lebih kompleks daripada dahulu.

Isu seperti kesihatan mental, tekanan sosial di media, dan ketidaktentuan ekonomi memberi kesan langsung kepada kesejahteraan psikologi mereka.

Dalam keadaan ini, penting untuk menyediakan sokongan berasaskan kefahaman dan bukan kritikan.

Ubah Perspektif Kita

Generasi ini tidak perlukan label negatif, tetapi ruang untuk belajar, gagal, dan bangkit semula.

Hakikatnya, Gen Z bukanlah generasi yang lemah. Mereka hanya dibentuk oleh persekitaran yang berbeza daripada generasi sebelumnya.

Dunia kini bergerak terlalu pantas dan cabaran sosial yang dihadapi juga lebih kompleks.

Maka, cara mereka belajar menyesuaikan diri turut berbeza. Apa yang perlu kita lakukan ialah memahami konteks mereka, bukan menilai mereka dengan ukuran lama.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita mengubah perspektif.

Daripada terus berkata “Gen Z sukar menyesuaikan diri”, elok jika kita bertanya semula: “Adakah kita telah menyediakan ruang dan peluang yang cukup untuk mereka belajar menyesuaikan diri?”.

Kerana pada akhirnya, membina generasi yang berdaya tahan bukan hanya tanggung jawab mereka tetapi juga tanggung jawab kita bersama.

Mereka ialah cerminan dunia yang kita sendiri bina; maka jika kita mahu mereka lebih kuat dan matang, kitalah yang perlu mula membentuk persekitaran yang mendidik, bukan menghukum.

-- BERNAMA

Dr Syarifah Maisarah Syed Alwi ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Ahli Klinikal Psikologi Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)