PENA WANITA

Usah Biar Permainan Ambil Alih Dunia Mereka

11/11/2025 11:42 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Syarifah Maisarah Syed Alwi

Tragedi yang berlaku di Batu Pahat, Johor, di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah selepas dipercayai dikelar dan ditikam oleh abangnya yang berusia sembilan tahun, telah menggoncang hati masyarakat.

Insiden tragis ini membuka ruang renungan mendalam tentang kesejahteraan psikologi kanak-kanak, tahap keprihatinan dan pengawasan ibu bapa, serta sejauh mana sistem sosial dan pendidikan negara benar-benar memahami dan memenuhi keperluan emosi generasi muda.

Ia bukan sekadar kes jenayah dalam lingkungan keluarga, tetapi cerminan jelas kepada krisis emosi dan pengabaian psikologi yang semakin membarah dalam masyarakat moden.

Fahami aspek psikologi kanak-kanak

Aspek psikologi kanak-kanak menjadi elemen utama dalam memahami tragedi ini secara holistik.

Pada usia sembilan tahun, kanak-kanak masih berada dalam fasa perkembangan emosi dan kognitif yang belum mencapai tahap matang sepenuhnya. Mereka sedang belajar mengenal dan mengawal perasaan seperti marah, cemburu, takut, dan kasih sayang.

Tanpa bimbingan yang konsisten daripada ibu bapa, serta sokongan persekitaran yang stabil, emosi ini berpotensi diterjemahkan kepada tingkah laku yang agresif dan impulsif.

Dalam keadaan tekanan psikologi, tindak balas yang ditunjukkan sering kali bersifat ekstrem akibat kekosongan dalam kefahaman emosi dan kelemahan kawalan dalaman yang akhirnya mencari cara sendiri untuk meluahkannya sehingga kadang kala dengan cara yang berbahaya.

Tindakan agresif

Dalam konteks ini, tindakan agresif terhadap adik sendiri dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati apabila adik sendiri menghilangkan mata dalam permainan video.

Insiden ini memperlihatkan bagaimana dunia digital mampu mencetuskan reaksi emosi yang melampau apabila tiada kawalan dan bimbingan diberikan.

Ia bukan sekadar isu permainan, tetapi manifestasi kegagalan mengurus emosi, kekecewaan dan persaingan dalam ruang maya yang terlalu awal diterokai oleh kanak-kanak.

Kelekaan ibu bapa dalam memantau interaksi digital anak menjadikan dunia permainan bukan lagi hiburan, tetapi ruang yang membentuk perilaku agresif dan tidak terkawal.

Saat “game” mengambil alih dunia mereka, kanak-kanak semakin terpisah daripada realiti emosi. Permainan digital yang sarat dengan unsur keganasan, pertarungan dan dendam menjadikan kekerasan sesuatu yang “biasa” dan tidak menakutkan.

Kajian psikologi menunjukkan bahawa pendedahan berulang terhadap imej dan aksi ganas boleh menyebabkan desensitisasi sehingga anak-anak menjadi kurang peka terhadap penderitaan dan kesakitan orang lain.

Lebih membimbangkan, dalam dunia permainan, “musuh” boleh ditewaskan dengan satu tikaman atau tembakan, dan pemain boleh “hidup semula” dengan satu klik. Persepsi ini, apabila tidak dibimbing, boleh mengaburkan sempadan antara realiti dan fantasi, menjadikan tindakan agresif dilihat sebagai permainan, bukan jenayah.

Teori pembelajaran sosial

Teori pembelajaran sosial Albert Bandura turut menjelaskan bahawa membentuk tingkah laku melalui proses pemerhatian dan peniruan.

Apabila kanak-kanak kerap terdedah kepada permainan yang menormalisasi keganasan, mereka cenderung meniru pola itu tanpa memahami implikasinya di dunia sebenar.

Maka, jika unsur ganas dianggap “mainan”, tindakan mencederakan boleh berlaku tanpa niat membunuh, tetapi dengan akibat yang tragis.

Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa sebagai penapis utama dengan bukan sekadar mengawal masa skrin, tetapi juga membimbing anak menilai mesej, memahami emosi dan membezakan di antara hiburan maya serta realiti kehidupan.

Keluarga berperanan besar

Faktor keluarga memainkan peranan besar dalam kesejahteraan emosi anak. Rumah yang tegang, kurang kasih sayang dan tiada komunikasi terbuka menimbulkan rasa tidak selamat serta terpinggir.

Apabila emosi tidak diakui, tindakan kasar menjadi saluran luahan yang salah.

Dalam tekanan hidup masa kini, ramai ibu bapa hanya memenuhi keperluan fizikal anak tanpa menyedari keperluan emosi yang terabai, satu bentuk pengabaian psikologi yang senyap tetapi sangat berbahaya.

Pandangan undang-undang dan kebajikan

Dari sudut undang-undang dan kebajikan, kes sebegini tidak wajar ditangani melalui hukuman semata-mata. Kanak-kanak di bawah umur sepuluh tahun belum memiliki kematangan moral dan kognitif untuk memahami akibat perbuatan mereka.

Pendekatan rehabilitasi perlu diutamakan, dengan tumpuan kepada terapi pengurusan emosi bagi pelaku serta rawatan trauma dan sokongan psikososial bagi mangsa.

Kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat, institusi pendidikan dan pakar psikologi amat penting bagi memastikan proses pemulihan yang holistik.

Ibu bapa perlu dibimbing, Pendidikan emosi di sekolah

Ibu bapa mesti dibimbing melalui program keibubapaan yang menekankan kemahiran mendengar, mengenal tanda tekanan mental anak, dan membina hubungan emosi yang sihat.

Ini bukan sekadar inisiatif sokongan, tetapi langkah pencegahan utama terhadap krisis emosi keluarga.

Sekolah pula perlu memperkukuh pendidikan emosi agar murid mampu mengenal, mengawal dan menyalurkan perasaan dengan empati.

Masyarakat harus menerima bahawa kesihatan mental bukan isu sampingan, tetapi teras kesejahteraan sosial dan keselamatan generasi akan datang.

Kesimpulan: rapuhnya jiwa anak-anak

Kesimpulannya, tragedi ini bukan sekadar kisah dua beradik, tetapi cerminan rapuhnya jiwa anak-anak apabila emosi mereka diabaikan. Dalam dunia yang semakin digital, kasih sayang dan perhatian manusia tidak boleh digantikan dengan teknologi.

Apabila dunia maya menjadi tempat anak meluah, sementara dunia sebenar gagal mendengar, di situlah bermulanya krisis psikologi yang sebenar.

Hanya melalui empati, komunikasi terbuka dan pendidikan emosi yang berterusan, kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cerdas minda, tetapi juga sihat jiwa dan berperikemanusiaan.

-- BERNAMA

Dr Syarifah Maisarah Syed Alwi ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Ahli Klinikal Psikologi Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)