PENA WANITA

Tenang Di Luar, Terluka Di Dalam: Isu Mental Kalangan Pekerja

05/11/2025 12:28 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Kajian oleh World Health Organization (WHO) menganggarkan bahawa lebih RM1 trilion hilang setiap tahun di peringkat global akibat kehilangan produktiviti berkaitan isu kemurungan dan keresahan.

Di Malaysia, laporan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa hampir satu daripada tiga individu dewasa mengalami gangguan mental pada tahap berbeza.

Justeru, kesihatan mental kini diiktiraf sebagai elemen penting dalam kesejahteraan manusia, setaraf dengan kesihatan fizikal.

Namun, ketika negara bergerak menuju era digital dan berpendapatan tinggi, isu kesihatan mental di tempat kerja masih lagi dilihat sebagai topik yang sensitif malah tabu.

Sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada 10 Oktober setiap tahun, antara isu yang disaran diberi perhatian adalah kesihatan mental kalangan pekerja.

Ruang tempat kerja merupakan sebuah persekitaran yang sangat kompetitif, penuh tekanan dan terikat budaya profesionalisme, namun isu kesihatan mental masih sering dianggap sebagai isu yang tabu, disalah erti atau diabaikan.

Sedangkan dalam kajian yang melibatkan survei terhadap 11,356 pekerja Malaysia, didapati bahawa individu dengan penyakit komorbid seperti migrain, asma bronkial, hipertensi dan penyakit jantung mempunyai kebarangkalian lebih tinggi menghadapi tekanan psikologi.

Mereka yang pernah didiagnos dengan penyakit mental terdahulu pula memiliki odds ratio (OR) sekitar 6.7 bagi seseorang untuk mengalami distres psikologi berbanding individu tanpa penyakit mental terdahulu.

Cabaran Besar

Terkini walaupun kesedaran semakin meningkat, stigma dan keengganan membincangkan isu ini secara terbuka terus menjadi halangan besar dalam mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan produktif.

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 juga masih tidak menyebut secara khusus tentang kesihatan mental sebagai sebahagian daripada keselamatan tempat kerja, walaupun cadangan pindaan sedang dibincangkan.

Hakikatnya tekanan di tempat kerja bukanlah perkara baharu kerana tahap keseriusan dan skala masalah tersebut kini membimbangkan.

Laporan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan kajian Relate Malaysia pada tahun 2022 mendapati lebih 50% pekerja melaporkan mengalami tekanan mental dan emosi yang serius di tempat kerja.

Ini termasuk simptom seperti keletihan emosi, keresahan, kemurungan dan keletihan kerja kronik.

Selanjutnya Laporan Wellness at Work Report 2024 oleh Employment Hero mendedahkan bahawa 67% pekerja di Malaysia mengalami gejala keletihan kerja, meningkat berbanding 58% pada tahun sebelumnya.

Lebih membimbangkan. laporan yang sama mendapati 55% mengakui keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi mereka berada pada tahap “sederhana” atau “lemah”.

Kalangan penjawat awam, saringan MyPsyD untuk penjawat awam (2024) pula mendapati seramai 44,901 (4.6%) penjawat awam dikesan berada dalam risiko tinggi berkaitan isu kesihatan mental seperti kemurungan, keresahan, penyalahgunaan bahan terlarang dan tingkah laku bunuh diri antara Mac hingga Disember 2024.

Kajian turut mendapati bahawa pekerja barisan hadapan, terutamanya yang bekerja di hospital, mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk mengalami stres, anxieti dan kemurungan.

Faktor seperti kekurangan sokongan mental, susunan kerja yang tidak baik (contohnya rotasi kerja) dan konflik dengan penyelia adalah antara punca utama.

Pekerja muda dan bukan akademik di institusi pengajian tinggi pula menunjukkan kadar simptom kemurungan dan kebimbangan yang signifikan berbanding dengan mereka yang lebih berusia atau dalam pekerjaan akademik.

Manakala 67% pekerja di sektor swasta melaporkan mengalami burnout atau keletihan melampau akibat tekanan kerja.

Peningkatan skor risiko psikososial dalam indeks kesejahteraan tempat kerja menunjukkan trend semakin buruk dalam keadaan psikologi tempat kerja.

Kesannya kepada organisasi boleh diukur melalui penurunan produktiviti kerja, kadar kehadiran rendah, kadar kemalangan tempat kerja yang lebih tinggi, imej syarikat tercemar akibat kes jenayah pekerjaan (contohnya kes bunuh diri berkaitan kerja), kos rawatan dan faedah perubatan meningkat, peningkatan kadar keluar masuk pekerja (high turnover rate) dan kehilangan pekerja mahir.

Lebih kritikal, pekerja yang ditekan secara mental tidak akan mampu berinovasi atau terlibat secara aktif iaitu dua komponen penting dalam ekonomi digital dan berasaskan pengetahuan.

Kesemua ini seharusnya membunyikan loceng kecemasan kepada majikan kerana tekanan mental bukan sekadar masalah individu, tetapi isu struktur organisasi.

Takut Dilabel dan Kekurangan Sokongan

Mengapa pekerja tidak bersuara?

Menurut laporan Focus Malaysia, hampir 50% pekerja tidak selesa membincangkan tekanan emosi yang mereka alami dengan majikan kerana bimbang akan dianggap lemah, kurang daya saing atau mengancam peluang kenaikan pangkat.

Hal ini sejajar dengan budaya kerja yang mana ‘ketabahan’ dan ‘tahan tekanan’ dianggap sebagai keperluan utama untuk berjaya.

Ini diperkuatkan dengan persepsi bahawa isu mental adalah "peribadi" dan tidak sepatutnya dibawa ke tempat kerja.

Apatah lagi dalam masyarakat Asia seperti Malaysia, kesihatan mental sering dikaitkan dengan gangguan jiwa yang ekstrem, bukan sebagai spektrum kesihatan harian.

Dalam satu tinjauan oleh Jobstreet pada tahun 2024, 37% responden menyenaraikan beban kerja melampau sebagai punca utama tekanan, diikuti oleh kekurangan latihan (30%) dan gaya pengurusan yang toksik (29%).

Lebih membimbangkan, 18% pengurus mengakui tempat kerja mereka sangat stres, apatah lagi impaknya kepada kakitangan biasa.

Satu kajian semasa pandemik COVID-19 di sebuah institusi pengajian tinggi di Kuantan mendapati bahawa 26.5% kakitangan mengalami kemurungan, 36.2% kegelisahan dan 21.3% tekanan emosi.

Punca utamanya termasuk beban kerja tambahan, sokongan penyelia yang lemah serta tekanan dari ketidakpastian pekerjaan.

Malah, mereka yang tidak menerima sokongan psikososial dari penyelia berisiko 9 kali ganda mengalami tekanan berbanding rakan sekerja lain.

Di sektor kesihatan pula, 89% doktor kerajaan yang ditemubual oleh portal CodeBlue menyatakan bahawa punca utama gangguan mental mereka datang daripada tempat kerja dan 76% takut untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang menjejaskan peluang kenaikan pangkat.

Mengapa Kesihatan Mental Masih Jadi Tabu?

Realitinya, kebanyakan organisasi masih belum mempunyai dasar kesihatan mental yang jelas.

Majikan dan pengurus sumber manusia kadangkala tidak dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda tekanan mental atau memahami cara memberi sokongan psikososial kepada pekerja.

Tanpa kesedaran ini, mereka mungkin gagal menyediakan persekitaran kerja yang selamat secara emosi.

Hanya sebilangan kecil organisasi di Malaysia yang mempunyai polisi kesihatan mental yang komprehensif sedangkan kebanyakan tempat kerja tidak mempunyai talian sokongan dalaman, tidak menyediakan akses kepada kaunselor profesional dan tiada mekanisme untuk pekerja membuat aduan mengenai tekanan kerja secara sulit.

Perkhidmatan seperti kaunseling dalaman, latihan kesedaran atau program sokongan pekerja (EAP) hanya wujud di beberapa syarikat besar seperti Petronas, Bank Negara Malaysia dan syarikat multinasional.

Pakar psikiatri juga masih jauh dari mencukupi, Malaysia hanya mempunyai 0.52 pakar psikiatri bagi setiap 100,000 penduduk, jauh lebih rendah daripada standard WHO iaitu 1 per 10,000.

Memecahkan Tabu

Memahami punca, kesan dan keperluan intervensi terhadap isu kesihatan mental di tempat kerja menjadi semakin penting dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan mampan.

Kesihatan mental bukan lagi isu peribadi atau pinggiran tetapi tanggungjawab bersama.

Tidak ada gunanya bercakap tentang “modal insan”, “produktiviti nasional” atau “transformasi ekonomi” jika pekerja terus didera secara emosi dalam sistem kerja yang tidak menyokong kesejahteraan mental.

Ketika dunia semakin menerima bahawa kesejahteraan pekerja adalah asas produktiviti dan inovasi, Malaysia perlu mempercepat transformasi budaya kerja yang lebih inklusif, sihat secara psikologi dan manusiawi.

Justeru, jika Malaysia mahu memecahkan stigma dan bergerak ke arah budaya kerja yang lebih lestari, langkah yang wajar dipertimbangkan adalah

Dasar kesihatan mental di tempat kerja yang mana majikan perlu menggubal dasar rasmi yang mengiktiraf kesihatan mental sebagai sebahagian daripada keselamatan tempat kerja termasuk waktu kerja fleksibel, cuti kesejahteraan dan jaminan kerahsiaan.

Seterusnya latihan kepimpinan empatik iaitu pengurus dan penyelia mesti dilatih bukan sahaja dalam pengurusan kerja, tetapi juga dalam kemahiran komunikasi empatik, pengendalian krisis emosi, dan sokongan psikososial asas untuk mengenal pasti tanda awal tekanan, berkomunikasi dengan empati dan merujuk pekerja kepada bantuan profesional tanpa prejudis.

Selanjutnya penilaian risiko psikososial iaitu audit berkala terhadap beban kerja, budaya kerja toksik dan gaya pengurusan perlu dijalankan secara profesional bagi mengelakkan krisis jangka panjang seperti keletihan melampau atau konflik kerja.

Akses lebih mudah kepada khidmat psikologi juga wajar dipertimbang yang mana sektor swasta boleh bekerjasama dengan KKM dan NGO untuk menyediakan khidmat kaunseling jarak jauh atau secara fizikal, terutamanya bagi pekerja di luar bandar.

-- BERNAMA

Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)