PENA WANITA

Game Over: Bila Dunia Maya Membunuh Nilai Kemanusiaan

04/11/2025 09:03 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Miharaini Md Ghani

Bayangkan seorang remaja yang menghabiskan berjam-jam di hadapan skrin, berinteraksi dengan dunia yang tidak pernah wujud. Dalam ruang kecil itu, dia berasa berkuasa dan diterima.

Namun di sebalik cahaya skrin yang terang, dunia sebenar semakin gelap, hubungan keluarga renggang, tidur terganggu, dan kesihatan mental terhakis sedikit demi sedikit.

Dunia di sekelilingnya seakan hilang, digantikan dengan debaran dan sorakan maya yang menguasai fikirannya.

Masa berlalu tanpa disedari. Dunia di sekeliling menjadi kabur, hanya bunyi tembakan digital dan sorakan maya memenuhi ruang minda. Di dunia sebenar, ibunya memanggil makan malam.

Di dunia maya, dia sedang ‘hidup’ dan ‘berjuang’. Dua dunia ini bersaing untuk mendapatkan jiwanya.

Inilah realiti hari ini. Dunia maya bukan lagi sekadar tempat bermain, ia telah menjadi ruang kedua bagi ramai remaja untuk merasa dihargai, bebas, dan berkuasa.

Namun dalam diam, dunia itu juga perlahan-lahan mencuri sesuatu yang paling berharga daripada manusia, iaitu empati, kasih sayang, dan nilai kemanusiaan.

Permainan yang Tidak Lagi Sekadar Hiburan

Permainan dalam talian pada asalnya dicipta untuk mencipta kegembiraan, strategi, dan jaringan sosial.

Namun, dalam dekad terakhir, ia berevolusi menjadi industri bernilai berbilion ringgit dengan sistem ganjaran, ranking, dan persaingan tanpa henti.

Masalahnya, setiap kemenangan dalam permainan ini mengaktifkan bahan kimia dopamin di otak, hormon yang membuatkan kita rasa puas dan ingin terus bermain.

Seperti ketagihan kepada gula atau rokok, ketagihan digital tidak berlaku secara tiba-tiba, tetapi perlahan-lahan menjerat minda.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), “gaming disorder” kini dikategorikan sebagai satu gangguan kesihatan mental. Mereka yang ketagih biasanya mengalami gangguan tidur, tekanan, keresahan sosial, dan kehilangan keupayaan mengawal emosi.

Di Malaysia, gejala ini semakin ketara dalam kalangan generasi muda, terutama apabila permainan dalam talian dijadikan tempat melarikan diri daripada realiti dan tekanan hidup.

Apabila Komunikasi Berubah Wajah

Salah satu kesan paling ketara dunia digital ialah perubahan cara manusia berkomunikasi. Kita berbual tanpa suara, berkawan tanpa tatapan, dan bertengkar tanpa melihat reaksi sebenar orang lain.

Di rumah, senyuman diganti dengan emoji. Suara diganti dengan mesej ringkas. Malah, perasaan juga sering diterjemahkan melalui simbol-simbol maya. Hubungan kekeluargaan yang dahulu dibina melalui interaksi kini digantikan dengan scrolling yang tiada henti.

Apabila komunikasi kehilangan elemen empati, salah faham menjadi semakin mudah berlaku. Kata-kata yang dahulu lembut kini kedengaran tajam. Marah yang dahulu boleh diredakan dengan pelukan kini hanya dibalas dengan “seen”. Dunia digital memberi ruang kepada ekspresi, tetapi menutup ruang untuk memahami.

Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Sosial

Dunia maya sering digambarkan sebagai ruang tanpa bahaya, tetapi realitinya tidak begitu. Kajian tempatan menunjukkan peningkatan dalam gejala kemurungan dan keresahan dalam kalangan remaja yang bermain permainan dalam talian secara berlebihan.

Apabila seseorang menghabiskan masa berjam-jam dalam dunia maya, otaknya menyesuaikan diri dengan irama pantas dan ganjaran segera. Dunia sebenar mula terasa perlahan, membosankan, dan tidak memuaskan. Apabila kembali ke realiti, individu ini mungkin merasa gelisah, mudah marah, dan hilang tumpuan.

Lebih membimbangkan, ketagihan digital juga menjejaskan hubungan sosial. Ramai remaja kini lebih akrab dengan rakan maya daripada keluarga sendiri.

Hubungan ini bersifat rapuh, mudah terjalin, mudah juga putus. Tanpa panduan dan keseimbangan, dunia maya yang sepatutnya menghubungkan manusia akhirnya memisahkan mereka.

Di Mana Hilangnya Empati?

Empati adalah suatu keupayaan untuk merasai dan memahami perasaan orang lain, dan ianya juga merupakan nadi kemanusiaan. Namun di dunia digital, empati sering hilang di antara chat box dan notifikasi.

Apabila seseorang terbiasa dengan interaksi tanpa wajah, mereka mula melihat manusia lain sebagai avatar atau nama pengguna semata-mata.

Kesan psikologinya besar, iaitu manusia kehilangan sensitiviti terhadap perasaan dan penderitaan orang lain. Kata-kata kasar, makian dalam talian, malah keganasan lisan menjadi normal.

Inilah paradoks abad digital di mana semakin kita bersambung, semakin kita terputus dari kemanusiaan sebenar.

Mendidik Jiwa Digital

Penyelesaian bukanlah dengan menolak teknologi, tetapi dengan mendidik jiwa agar seimbang dalam menggunakannya. Literasi digital hari ini perlu melangkaui kemahiran teknikal dan ia mesti disertai dengan literasi emosi.

Remaja perlu faham bahawa dunia maya bukan tempat untuk membina identiti palsu, tetapi medan untuk menguji nilai sebenar diri. Mereka perlu tahu bila untuk berhenti, bila untuk berbual dengan manusia sebenar, dan bila untuk kembali kepada realiti.

Ibu bapa pula perlu menjadi contoh. Sediakan masa berkualiti tanpa skrin dengan berbual, makan, atau beraktiviti bersama. Tidak cukup hanya menasihati anak untuk “kurangkan gajet” sedangkan diri sendiri masih leka menatap telefon di meja makan. Anak-anak belajar melalui apa yang mereka lihat, bukan apa yang mereka dengar.

Institusi pendidikan juga boleh memperkenalkan modul komunikasi berempati dan kesihatan digital, agar pelajar belajar memahami bukan sekadar teknologi, tetapi juga hati manusia yang menggunakannya.

Menekan Butang ‘Pause’

Dunia digital bergerak pantas, namun manusia masih punya kuasa untuk menekan butang ‘pause’. Berhenti seketika, pandang sekeliling, dan tanya diri, bila kali terakhir kita benar-benar berbual dengan seseorang tanpa gangguan notifikasi?

Dalam kesibukan dunia siber, kita mudah lupa bahawa kasih sayang tidak dapat dihantar melalui emoji. Tiada teknologi yang boleh menggantikan pelukan, pandangan mata, atau senyuman tulus. Semua itu adalah bahasa emosi yang hanya wujud dalam dunia nyata.

Jangan Sampai ‘Game Over’ Untuk Kemanusiaan

Permainan boleh memberi keseronokan, tetapi juga boleh memerangkap jiwa. Dunia maya boleh menyatukan manusia, tetapi juga mampu menjauhkan mereka. Kita masih punya pilihan, untuk mengimbangi teknologi dengan nilai, dan hiburan dengan empati.

Kemenangan sebenar bukanlah pada jumlah skor di skrin, tetapi pada kemampuan kita mengekalkan nilai kemanusiaan dalam dunia yang semakin tidak manusiawi.

Jangan sampai “Game Over” menjadi penamat permainan, tetapi juga noktah kepada perasaan, kasih dan jiwa kita sebagai manusia.

-- BERNAMA

Dr Miharaini Md Ghani ialah Editor, Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC), dan Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)