Oleh Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin dan Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff
Sistem Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR) atau juga dikenali sebagai sistem Pengecaman Plat Lesen (LPR) adalah satu sistem pengesanan dan pengecaman nombor pendaftaran kenderaan secara automatik menggunakan kamera dan teknologi pengesahan imej. Sistem ANPR ini membolehkan kenderaan dikesan tanpa memerlukan pemandu melakukan tindakan seperti berhenti atau menekan instrumen fizikal. Dalam bahasa yang mudah, apabila nombor pendaftaran dikesan, ia boleh dihubungkan secara terus kepada sistem bayaran automatik, sistem pemantauan trafik, sistem penguatkuasaan, sistem laluan tol dan sebagainya.
Di Malaysia, sistem tol dan kutipan tol telah melalui evolusi daripada kutipan secara manual ke kutipan secara elektronik dan terkini, negara kita berada di ambang percubaan sistem tol tanpa palang dan sistem tol Aliran Bebas Berbilang Lorong (MLFF) dengan sokongan ANPR. Untuk merealisasikan sistem ini, PLUS Malaysia dijangka memulakan percubaan sistem tol berasaskan sistem ANPR pada Oktober 2025. Artikel ini seterusnya akan membincangkan secara ringkas berkaitan dengan sejarah penggunaan sistem pembayaran tol di negara kita, kelebihan dan kelemahan sistem ANPR yang akan diperkenalkan dan juga penggunaan sistem ini secara meluas di pelbagai negara di seluruh pelusuk dunia.
Sejarah Sistem Pembayaran Tol di Malaysia
Melihat kembali evolusi sistem kutipan tol di Malaysia, di peringkat awal, sistem tol dijalankan secara manual atau tunai, iaitu pemandu perlu berhenti di plaza tol dan membuat pembayaran menggunakan wang syiling atau wang kertas. Kaedah ini digunakan secara meluas di lebuh raya utama seperti Lebuhraya Utara–Selatan. Sistem ini memerlukan kakitangan tol untuk mengutip bayaran secara fizikal. Walaupun ia berfungsi dengan baik pada peringkat awal, ia menyebabkan kesesakan teruk terutamanya pada waktu puncak dan cuti umum kerana transaksi dilakukan secara manual.
Bagi meningkatkan kelancaran transaksi dan mengurangkan kesesakan di plaza tol, Malaysia mula memperkenalkan sistem pembayaran elektronik pada akhir 1990-an. Antara teknologi terawal ialah Touch ’n Go, iaitu kad pintar yang boleh ditambah nilai dan digunakan di lorong khas untuk pembayaran tanpa tunai. Tidak lama selepas itu, SmartTAG pula diperkenalkan pada tahun 1999 sebagai tambahan kaedah pembayaran kepada sistem sedia ada. SmartTAG merupakan alat elektronik yang diletakkan di dalam kenderaan dan berkomunikasi menggunakan pemancar inframerah di plaza tol bagi membolehkan kenderaan melalui lorong khas tanpa perlu berhenti sepenuhnya.
Sejak tahun 2004, kerajaan telah mewajibkan semua plaza tol utama di Malaysia menyediakan sekurang-kurangnya dua lorong Touch ’n Go dan satu lorong SmartTAG bagi memastikan kelancaran operasi. Dalam usaha memperkukuh lagi sistem pembayaran tanpa tunai, Frekuensi Radio (RFID) telah diperkenalkan sebagai alternatif moden yang menggunakan pelekat elektronik untuk mengenal pasti kenderaan secara automatik ketika melalui lorong tol pada tahun 2020.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebanyakan lebuh raya utama telah beralih sepenuhnya kepada sistem tol tanpa tunai. Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan semua transaksi tol dilakukan melalui kaedah elektronik kad Touch ’n Go dan aplikasi touch & Go (ewallet), SmartTAG atau RFID. Perubahan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, tetapi juga mengurangkan penggunaan tenaga kerja dan mempercepatkan aliran trafik di kawasan tol. Kebanyakan lebuh raya di Lembah Klang telah menghentikan terus kutipan tunai bagi mempercepatkan peralihan ke arah sistem pintar sepenuhnya.
Kelebihan Sistem ANPR
Penggunaan sistem ANPR dalam sistem tol di Malaysia membawa pelbagai kelebihan yang mampu mengubah landskap pengurusan lebuh raya ke arah yang lebih moden, cekap dan mesra pengguna. Teknologi ini bukan sahaja mempercepatkan proses pembayaran tol, malah turut meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh aspek keselamatan jalan raya. Melalui keupayaannya mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan secara automatik, sistem ini memberi kesan positif bukan sahaja kepada pengguna lebuh raya, tetapi juga kepada pengendali tol dan pihak berkuasa.
Antara kelebihan utama sistem ANPR ialah berkaitan dengan kelajuan dan kelancaran aliran trafik. Dengan keupayaan mengesan nombor pendaftaran secara automatik tanpa perlu kenderaan berhenti, sistem ini membolehkan pengguna melalui kawasan tol dengan lebih pantas dan selesa. Kenderaan tidak lagi perlu memperlahankan kelajuan secara ketara seperti ketika menggunakan sistem kad atau RFID, sekali gus mengurangkan kesesakan di plaza tol terutama pada waktu puncak atau musim perayaan. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan, tetapi turut mengurangkan risiko kemalangan kecil yang sering berlaku akibat tindakan brek mengejut atau pertukaran lorong secara mendadak oleh pemandu di kawasan tol.
Kelebihan seterusnya ialah pengurangan kos operasi fizikal bagi pengendali lebuh raya. Dengan pelaksanaan ANPR, kebergantungan terhadap pondok tol, palang automatik dan tenaga kerja manusia dapat dikurangkan dengan ketara. Sistem ini beroperasi secara automatik melalui kamera definisi tinggi dan perisian pengecaman imej, menjadikannya lebih efisien dari segi penyelenggaraan jangka panjang. Kos operasi yang sebelum ini digunakan untuk penyelenggaraan mekanikal dan pengurusan kakitangan boleh disalurkan kepada peningkatan sistem teknologi atau penambahbaikan keselamatan jalan raya. Ini secara tidak langsung membantu mewujudkan operasi tol yang lebih lestari dan kos efektif.
Selain itu, sistem ini turut memberikan ketepatan tinggi dalam transaksi dan kemudahan audit digital. Setiap transaksi tol yang berlaku direkodkan secara automatik bersama bukti digital seperti imej kenderaan, masa, lokasi dan nombor pendaftaran. Rekod ini boleh diaudit semula dengan mudah bagi tujuan pengesahan bayaran atau penyiasatan sebarang pertikaian. Sistem ANPR menawarkan ketelusan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi dalam pengurusan data berbanding dengan sistem manual yang lebih terdedah kepada kesilapan manusia. Ini membantu pihak berkuasa atau pengendali lebuh raya mengekalkan akauntabiliti serta meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap sistem pembayaran tol.
Dari sudut pengguna pula, sistem ANPR menawarkan fleksibiliti pembayaran yang lebih luas. Pengguna boleh menghubungkan nombor pendaftaran kenderaan mereka dengan memilih pelbagai kaedah pembayaran seperti kad debit, kad kredit, akaun e-wallet atau akaun tol khusus. Ini membolehkan bayaran dilakukan secara automatik tanpa memerlukan pengguna membawa kad fizikal, tag RFID atau peranti tambahan di dalam kenderaan. Kaedah ini bukan sahaja lebih mudah, tetapi juga mengurangkan risiko kehilangan atau kerosakan kad fizikal serta menjadikan pengalaman menggunakan lebuh raya lebih lancar dan moden.
Satu lagi kelebihan penting ialah integrasi ANPR dengan sistem penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya. Sistem ini boleh disepadukan dengan pangkalan data pihak berkuasa untuk mengesan kenderaan yang disenaraihitam, dicuri atau mempunyai tunggakan tol. Sekiranya kamera mengesan nombor pendaftaran yang tidak sah atau belum didaftarkan, tindakan segera boleh diambil sama ada secara automatik atau melalui amaran kepada pihak berkuasa. Hal ini bukan sahaja membantu dalam penguatkuasaan undang-undang, tetapi turut memperkukuh aspek keselamatan di lebuh raya. Di beberapa negara maju, ANPR turut digunakan bagi pengawasan lalu lintas, pengesanan jenayah, dan pengurusan kesalahan jalan raya secara masa nyata.
Selain fungsi kutipan tol dan keselamatan, ANPR juga berperanan penting dalam pengumpulan serta analisis data trafik. Data yang direkodkan seperti aliran kenderaan, masa perjalanan, dan corak penggunaan lebuh raya boleh digunakan untuk menganalisis kesesakan, merancang penambahbaikan infrastruktur, atau mengatur strategi penyelenggaraan jalan dengan lebih berkesan. Melalui analisis ini, pihak berkuasa dapat mengenal pasti waktu puncak sebenar, laluan paling sibuk, dan jenis kenderaan yang paling banyak menggunakan lebuh raya. Data raya yang dihasilkan daripada ANPR juga boleh digunakan dalam perancangan bandar pintar di masa hadapan.
Akhir sekali, sistem ANPR mengurangkan keperluan kepada penggunaan kad fizikal atau peranti tambahan. Jika sistem ini mencapai tahap ketepatan yang tinggi, pengguna tidak lagi perlu memasang tag RFID atau membawa alat pembaca tertentu. Ini mengurangkan beban pengguna dan memudahkan proses pendaftaran serta penyelenggaraan akaun. Keadaan ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk meminimumkan penggunaan bahan fizikal dan menggalakkan pendigitalan penuh dalam sistem pengangkutan.
Kelemahan Sistem ANPR
Walaupun sistem ANPR menawarkan pelbagai kelebihan dari segi kelancaran trafik, kecekapan operasi dan kemudahan pengguna, ia juga tidak terlepas daripada beberapa kelemahan dan cabaran yang perlu diberi perhatian serius sebelum dilaksanakan secara menyeluruh di Malaysia. Cabaran-cabaran ini bukan sahaja melibatkan aspek teknikal dan kewangan, tetapi juga merangkumi isu privasi, perundangan serta kesiapsiagaan infrastruktur negara.
Antara cabaran utama yang dihadapi oleh sistem ANPR ialah ketepatan pengecaman nombor pendaftaran. Keberkesanan sistem ini sangat bergantung kepada kemampuan kamera dan perisian pengecaman imej untuk mengenal pasti nombor plat dengan betul. Dalam keadaan sebenar, banyak faktor boleh menjejaskan ketepatan ini seperti nombor pendaftaran yang rosak, tertutup lumpur, dilapisi kotoran, atau dimanipulasi oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab. Oleh yang demikian, pemilihan kamera dan perisian pengecaman imej amatlah kritikal untuk mendapatkan data yang tepat.
Selain itu, keadaan pencahayaan, sudut kamera, bayangan, dan cuaca buruk seperti hujan atau kabus turut mempengaruhi prestasi sistem. Kajian menunjukkan bahawa ANPR di Malaysia perlu disesuaikan dengan kepelbagaian reka bentuk plat kenderaan, tahap pencahayaan tropika dan kepadatan trafik tempatan. Dalam penyelidikan antarabangsa pula, penggunaan teknik seperti chain code dan algoritma khas amat penting bagi menangani isu pengecaman bagi plat yang tidak mengikut spesifikasi standard. Ini menunjukkan bahawa sistem ANPR memerlukan kalibrasi yang teliti dan berterusan bagi mencapai ketepatan yang diharapkan.
Cabaran kedua ialah kos pemasangan dan penyelenggaraan sistem yang tinggi. Pelaksanaan ANPR memerlukan pemasangan kamera berdefinisi tinggi di setiap lorong tol, pencahayaan tambahan, sistem pemprosesan imej masa nyata, serta sambungan rangkaian berkelajuan tinggi untuk menghantar data ke pusat pelayan. Semua elemen ini melibatkan kos permulaan yang besar, di samping memerlukan penyelenggaraan berterusan bagi memastikan kamera dan sistem berfungsi dengan baik sepanjang masa. Tambahan pula, Malaysia mempunyai ratusan plaza tol di seluruh negara, menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan sangat besar. Hal ini menimbulkan persoalan tentang pulangan pelaburan dan kebolehlaksanaan sistem dalam jangka panjang.
Satu lagi cabaran besar ialah isu kerahsiaan dan perundangan. ANPR beroperasi dengan merakam imej setiap kenderaan yang melalui sistem, termasuk nombor pendaftaran dan masa perjalanan. Ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana data ini boleh digunakan, siapa yang berhak mengaksesnya dan berapa lama ianya boleh disimpan. Tanpa garis panduan undang-undang yang jelas, risiko penyalahgunaan data atau pencerobohan privasi pengguna boleh berlaku. Dalam konteks Malaysia, undang-undang sedia ada seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) mungkin perlu dikemaskini atau diperluas bagi menangani penggunaan data visual dan digital dalam konteks ANPR. Kerangka perundangan yang kukuh amat penting agar kepercayaan pengguna terhadap sistem ini dapat dikekalkan.
Selain itu, risiko penipuan dan penyalahgunaan nombor pendaftaran turut menjadi kebimbangan. Terdapat kemungkinan pengguna tidak bertanggungjawab memanipulasi nombor plat kenderaan mereka, sama ada dengan menukar reka bentuk, menutup sebahagian nombor, atau menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengelak daripada dikesan. Di beberapa negara lain, kes penggunaan plat klon turut dikesan, iaitu nombor yang sama digunakan lebih daripada satu kenderaan. Jika sistem ANPR gagal membezakan antara kenderaan asli dan klon, risiko kesilapan caj tol atau penguatkuasaan salah boleh berlaku. Tanpa sistem pengesahan silang yang kukuh dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas, masalah ini boleh menjejaskan kredibiliti sistem.
Cabaran lain ialah isu integrasi dan pemadanan data antara pelbagai sistem. ANPR perlu disepadukan dengan sistem pembayaran tol, pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan akaun pengguna seperti e-wallet atau kad kredit. Sekiranya berlaku ketidakselarasan data, kelewatan penyelarasan data atau ralat dalam pemadanan nombor kenderaan dengan akaun pengguna, ia boleh menyebabkan masalah caj tol tidak sah atau tertunggak. Oleh itu, pelaksanaan ANPR memerlukan sistem digital yang mantap serta kerjasama erat antara pelbagai agensi dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan integrasi berjalan dengan lancar.
Kegagalan sistem dan keperluan teknikal yang bertindan juga merupakan aspek penting yang perlu diambil kira. Jika kamera rosak, sambungan internet terputus, atau pelayan pusat gagal berfungsi, keseluruhan operasi tol boleh terganggu. Keadaan ini boleh menimbulkan kekeliruan pengguna dan menyebabkan kehilangan hasil kutipan tol. Justeru, perlu ada pelan strategi seperti lorong kecemasan atau mod manual sementara untuk memastikan operasi tetap berjalan sekiranya berlaku gangguan teknikal. Jika keadaan ini tidak diambil kira dengan teliti, kebarangkalian kesesakan yang teruk akan terjadi.
Tambahan pula, wujud ketidakpastian mengenai tanggungan kos dan model kewangan pelaksanaan ANPR. Peralihan kepada sistem MLFF yang menggunakan ANPR memerlukan pelaburan besar. Persoalannya, siapakah yang akan menanggung kos tersebut? Adakah ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, pengendali lebuh raya atau akan dipindahkan secara tidak langsung kepada pengguna melalui kadar tol baharu? Tanpa perancangan kewangan yang jelas, pelaksanaan sistem ini mungkin menimbulkan pertikaian antara pihak berkepentingan dan menjejaskan penerimaan masyarakat.
Akhir sekali, isu perundangan dan peraturan khusus bagi sistem ANPR masih belum ditetapkan sepenuhnya di Malaysia. Walaupun sistem ini berkait rapat dengan Akta Jalan Raya dan penguatkuasaan trafik, perlu ada undang-undang tambahan yang memperincikan aspek pelaksanaan, kawalan data, dan tatacara tindakan terhadap pelanggaran. Tanpa dasar dan peraturan yang jelas, tentunya pelaksanaan ANPR berisiko terhadap kekangan undang-undang yang boleh menjejaskan keberkesanan serta keabsahan sistem.
Aplikasi Penggunaan ANPR
Bagi memahami potensi dan keberkesanan sistem ANPR, amat penting untuk meneliti bagaimana teknologi ini telah digunakan di negara-negara lain. Pelbagai negara maju telah melaksanakan sistem pengenalan plat automatik dalam konteks kutipan tol, pengurusan trafik, dan penguatkuasaan undang-undang. Kajian penggunaan sistem ANPR di negara-negara ini bukan sahaja menunjukkan keberkesanan sistem ANPR, tetapi turut memberikan panduan yang bermanfaat kepada Malaysia dalam merancang pelaksanaannya secara berkesan.
Singapura merupakan antara negara terawal di rantau Asia Tenggara yang memperkenalkan sistem tol elektronik tanpa palang melalui Sistem Caj Jalan Elektronik (ERP). Walaupun sistem ini tidak digunakan di lebuh raya, ia berfungsi sebagai mekanisme kawalan akses jalan bandar yang mengenakan caj kepada kenderaan yang memasuki kawasan tertentu pada waktu tertentu. Sistem ERP di Singapura menggunakan gabungan pelbagai teknologi termasuk sensor gelombang mikro, RFID dan kamera pengesan nombor plat bagi memastikan ketepatan kutipan caj.
Pelaksanaan ANPR di China pula berada pada skala yang lebih luas dan kompleks. Negara itu telah melaksanakan sistem tol aliran bebas di beberapa lebuh raya utama dengan menggunakan kombinasi kamera ANPR, sensor bawah tanah dan sensor roda. Gabungan teknologi ini membolehkan sistem mengenal pasti setiap kenderaan dengan ketepatan tinggi dan secara automatik mengenakan bayaran tol tanpa gangguan kepada aliran trafik. Pada masa yang sama, sistem ANPR turut digunakan untuk tujuan penguatkuasaan seperti mengenal pasti kenderaan yang melanggar undang-undang lalu lintas atau mengelak daripada membayar tol. China menjadi contoh penting dalam pelaksanaan sistem berskala besar, di mana kepelbagaian teknologi digunakan untuk menambah baik ketepatan dan kebolehpercayaan sistem ANPR.
Sementara itu, Amerika Syarikat dan Kanada juga telah lama menggunakan sistem pengenalan plat automatik untuk kutipan tol tanpa palang, dikenali sebagai sistem tol jalan terbuka. Di Amerika, negeri seperti Florida dengan sistem SunPass dan kawasan Pantai Timur dengan E-ZPass menggunakan gabungan kamera ANPR dan tag elektronik bagi mengenakan tol secara automatik. Jika kenderaan tidak memiliki tag RFID, sistem ANPR akan menangkap imej nombor plat dan menghantar invois secara pos kepada pemilik kenderaan. Sistem ini membolehkan pemandu bergerak pada kelajuan biasa tanpa perlu berhenti di plaza tol. Kaedah penguatkuasaan yang sistematik serta kerjasama dengan pangkalan data pendaftaran kenderaan menjadikan sistem ini sangat efisien dan dipercayai.
Penggunaan ANPR di United Kingdom pula telah diterapkan secara meluas dalam sistem tol dan kawalan trafik. Contoh paling terkenal ialah Jambatan Dartford Crossing yang menggunakan sistem dikenali sebagai Dart Charge. Sistem ini tidak mempunyai palang tol, sebaliknya menggunakan kamera ANPR untuk mengenal pasti nombor pendaftaran setiap kenderaan yang melaluinya. Pemilik kenderaan kemudiannya perlu membuat pembayaran secara dalam talian atau melalui aplikasi mudah alih dalam tempoh tertentu. Sekiranya pembayaran tidak dibuat, penalti akan dikenakan secara automatik.
Selain itu, Belanda dan beberapa negara Eropah lain turut menggabungkan teknologi ANPR dalam sistem lebuh raya mereka. Di Eropah, ANPR bukan sahaja digunakan untuk tujuan kutipan tol, tetapi juga untuk pemantauan keselamatan, pengesanan kenderaan yang dicuri serta kawalan sempadan automatik. Banyak negara telah menggunakan pendekatan pelaksanaan ANPR secara berperingkat bermula di kawasan strategik sebelum diperluaskan ke seluruh rangkaian lebuh raya. Ini membolehkan pihak berkuasa menilai keberkesanan sistem, menyelesaikan isu teknikal dan menyesuaikan dasar sebelum pelaksanaan penuh dilakukan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, jika sistem ANPR dilaksanakan dengan teliti dan cabaran-cabaran utama dapat ditangani dengan baik, ia berpotensi untuk merevolusikan sistem tol di Malaysia. Teknologi ini bukan sekadar inovasi dalam pengurusan kutipan tol, tetapi juga langkah penting ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam penggunaan teknologi pengangkutan pintar di rantau Asia Tenggara. Ia juga dapat membantu memantau corak dan pengurusan aliran trafik yang lebih efektif, merancang penyelenggaraan lebih awal serta membolehkan integrasi data dan analitik trafik yang bersepadu. Sistem ANPR mampu menjadi simbol kemajuan infrastruktur negara yang mencerminkan gabungan antara teknologi, kecekapan dan kemudahan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
--BERNAMA
Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur.
Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.